MSD 2021: Merdeka 118 dijangka siap menjelang tahun hadapan
KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 yang dijangka siap dibina menjelang tahun depan menjadi menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Dengan 644 meter, mercu tanda baharu milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) ini berada di tangga kedua sebagai bangunan tertinggi di dunia selepas Burj Kalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dengan rekaan sofistikated, Merdeka 118 dibangunkan berhampiran dengan stadium bersejarah di Malaysia, Stadium Merdeka yang memulakan proses pemuliharaan sejak 2006.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata Merdeka 118 dijangka menambah nilai persekitaran bandar Kuala Lumpur, sekali gus menjadi tumpuan baharu kepada rakyat negara ini dan pelancong asing.
"Merdeka 118 akan menjadi tumpuan baharu kepada Kuala Lumpur yang mana ia dilengkapi dengan pelbagai komponen termasuk pusat beli-belah, taman dan muzium tekstil.
"Ia dijangka dapat memperkasakan komuniti sekeliling dan kita nak pupuk serta kekalkan pusat bandar lama Kuala Lumpur ini melalui pelbagai perancangan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan PNB," katanya dalam sesi Jumpa di 118 bersempena Minggu Saham Digital (MSD) 2021 hari ini.
Merdeka 118 merangkumi tiga juta kaki persegi ruang luas lantai dan terdiri daripada 1.66 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred-A serta sejuta juta kaki persegi ruang niaga.
Beberapa ciri yang mengagumkan dibangunkan di menara ini termasuklah dek pemerhatian 'The View at 118', yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara, serta Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas menara.
Dihubungkan secara terus dari menara adalah '118 Mall', pusat membeli belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka 'Merdeka Boulevard at 118' seluas 1.62 hektar di samping tiga menara kediaman eksklusif.
Presint Merdeka 118 juga akan menampilkan sebuah muzium tekstil yang mengetengahkan tesktil dunia Melayu, pusat jagaan kanak-kanak serta Masjid Merdeka dengan kapasiti 3,000 orang.
Pembangunan Merdeka 118 terletak di kawasan bersejarah Kuala Lumpur dan berdiri teguh di samping dua warisan negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Terletak berhadapan Stadium Merdeka, lokasi yang mencatat sejarah terpenting dalam pengisytiharan kemerdekaan negara pada 1957, nama Merdeka telah dipilih bagi menara ikonik ini sebagai penghormatan bersempena peranan signifikan lokasi itu.
Reka bentuk puncak utama menara setinggi 118 tingkat ini turut memiliki catatan cerita menarik di sebaliknya.
Ia simbolik kepada bentuk tangan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman, yang dijulang tinggi ketika melaungkan perkataan keramat 'Merdeka' semasa pengisytiharan kemerdekaan negara, 64 tahun yang lalu.
Bahagian luar menara yang memiliki pelbagai segi mirip potongan berlian pula menandakan integrasi dan kepelbagaian kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ahmad Zulqarnain berkata, seiring dengan pembinaan menara Merdeka 118, PNB telah melaksanakan kerja pemuliharaan untuk mengembalikan Stadium Merdeka ke keadaan asalnya seperti pada tahun 1957.
"Untuk Stadium Negara pula, satu kajian kemungkinan (feasibility study) sudah dilakukan bagi mengenalpasti cara terbaik untuk menjadikannya aset komersial dan pada masa yang sama mengekalkan seni bina asal stadium," katanya.
Beliau berkata, PNB juga sedang bekerjasama dengan Think City, sebuah organisasi komuniti yang berpengalaman dalam pembangunan semula kawasan bandar.
"PNB teruja dengan inisiatif Think City dalam memperkasa komuniti dan menghidupkan semula kawasan bersejarah seperti George Town di Pulau Pinang, dan kami harap Merdeka 118 juga dapat berkembang maju dengan usaha serupa," katanya.
Source: Bharian.com.my