News & Articles MARA Inc bantu bangun sektor hartanah Sabah

MARA Inc bantu bangun sektor hartanah Sabah


1 Dec 2021
MARA Inc bantu bangun sektor hartanah Sabah
KOTA KINABALU: Landskap hartanah Sabah dijangka terus berkembang dengan pembangunan kondominium moden bernilai kira-kira RM500 juta yang akan mula dibina pada suku pertama tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek hartanah pertama di Sabah yang dibangunkan oleh anak syarikat MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) iaitu MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc) dilihat akan membantu merancakkan semula ekonomi dan industri pembinaan tempatan semasa fasa pemulihan ini.

Beliau berkata, pembangunan hartanah yang membabitkan 441 unit kediaman itu akan turut dipromosikan kepada pembeli dari luar negara menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). Namun, 30 peratus unit kediaman dikhaskan kepada kaum bumiputera Sabah dengan potongan harga istimewa.

Katanya, projek pembangunan ini bakal membawa manfaat kepada ekonomi Sabah melalui kemasukan pelabur dan pelancong luar negara.

Projek pembangunan Kondominium Signal Hill ini akan dibangunkan di kawasan seluas 5.48 ekar dan membabitkan pembinaan dua menara kediaman yang akan dibina di atas tujuh tingkat podium yang bakal dilengkapi dengan kolam renang, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan gimnasium.

“Projek pembangunan ini juga dijangka mampu menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan. Di samping itu, ia akan memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek dan syarikat pemasaran hartanah tempatan untuk terlibat dalam projek ini,” katanya semasa majlis pecah tanah bagi cadangan projek pembangunan Kondominium Signal Hill hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut katanya, Majlis Amanah Rakyat Sabah (MARA) juga akan terus memberi fokus membantu usahawan bumiputera di Sabah menerusi pembiayaan pinjaman perniagaan.

Pada tahun ini, sejumlah RM40 juta pinjaman dikeluarkan bagi membantu 500 orang usahawan bumiputera luar bandar di Sabah.

Selain itu, MARA juga akan terus meningkatkan agenda pendidikan melalui bidang teknik dan vokasional (Tvet) menerusi Kolej Poly-Tech MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Hadir sama ialah Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.- UTUSAN ONLINE

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia