News & Articles Kerja pembangunan di TRX kembali rancak

Kerja pembangunan di TRX kembali rancak


2 Dec 2021
Kerja pembangunan di TRX kembali rancak
KUALA LUMPUR: Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) kembali rancak selepas aktiviti ekonomi dibuka semula pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dan peralihan kepada fasa lebih baik dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib, berkata kerja-kerja pembangunan pusat kewangan terbaharu Malaysia itu semakin menghampiri keadaan sebelum tercetusnya COVID-19 di Malaysia.

"Ketika ini pembangunan struktur 28.3 hektar sudah kira-kira 80 peratus sudah disiapkan, manakala The Exchange TRX, yang terdiri daripada pusat beli-belah runcit dan taman atas bumbung, berkemungkinan siap pada suku keempat tahun depan," katanya pada taklimat media hari ini.

TRX City adalah pemaju induk pusat kewangan antarabangsa TRX yang sedang membangunkan The Exchange TRX secara usaha sama 40:60 dengan pemaju hartanah berpangkalan di Sydney, Australia iaitu Lendlease Group.

Sementara itu, Azmar berkata, berkata PKP yang dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun lalu memberi kesan kepada aktiviti pembinaan selepas berlakunya gangguan rantaian bekalan.

"Sudah tentu aktiviti pembinaan tertangguh beberapa bulan. Bagaimanapun, sebahagian kerja masih dapat dilaksanakan, tetapi gangguan rantaian bekalan tidak dapat dielakkan.

"Kami amat menitikberatkan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan kerja-kerja pembangunan. Kami juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa untuk memastikan pekerja kami berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata, pembangunan ibu pejabat Affin Bank dijangka siap pada suku pertama tahun depan, manakala TRX Residences dan Core Residences pada 2023.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Lendlease Malaysia, Stuart Mendel berkata, kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan ruang runcit telah disewakan kepada penyewa terkemuka seperti pengendali pawagam multipleks, Golden Screen Cinemas dan rangkaian runcit antarabangsa, Dairy Farm.

"Kami gembira kerana separuh sudah disewakan, manakala bakinya dijangka disewa sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan akan datang

"Kami memiliki kira-kira 12 bulan untuk mencapai sasaran untuk menyiapkan projek. Jumlah tenaga kerja di The Exchange TRX kini sudah mencecah kira-kira 3,000 orang, jumlah yang hampir sama dengan tahap sebelum pandemik," katanya.

Keseluruhan projek TRX mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 tahun untuk disiapkan.

Projek mega itu dibuka pada 2019 dengan operasi bangunan pencakar langit Menara Prudential dan The Exchange 106.

Ibu Pejabat HSBC dan Affin Bank pula dijangka beroperasi tahun depan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia