Selangor setuju laksana Jajaran Utara ECRL
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersetuju dan memberi jaminan tiada lagi halangan bagi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk merentasi bahagian utara negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata setelah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus projek ECRL bersama-sama dengan jabatan dan agensi kerajaan Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17 November dan sekali lagi pada 24 November lalu, bersetuju untuk menerima cadangan Jajaran Utara ECRL dan seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL yang membabitkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.
Beliau berkata, kelulusan ECRL Jajaran Utara itu adalah Jajaran Asal ECRL yang telah ditambah baik adalah berdasarkan pemakluman Kementerian Kewangan (MOT) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai penyelia dan pemilik projek ECRL kepada kerajaan Selangor bahawa ECRL tidak akan menjejaskan kawasan berisiko seperti Permatang Kuarza Gombak yang kini dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Justeru, katanya MMKN juga bersetuju untuk menyegerakan pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi membolehkan kerja awalan Projek ECRL seperti pengukuran dan penyiasatan tanah dijalankan.
"MMKN bersetuju agar permohonan Pengambilan Tanah di bawah Seksyen 3(1)(a) dan Pengisytiharan di bawah Seksyen 4, APT
1960, bagi daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, dan Klang dijalankan selaras dengan Jajaran Utara ECRL di Selangor," katanya pada majlis penyerahan dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) ECRL, hari ini.
Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga optimis reka bentuk terperinci ECRL dan penyediaan pelan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8, APT 1960 dapat dijalankan awal tahun 2022 dan seterusnya membolehkan permulaan kerja fizikal bagi menyempurnakan Jajaran Utara ECRL.
Beliau berkata, kerajaan Selangor turut menyokong pembinaan lima stesen ECRL di Selangor, dengan tiga stesen iaitu ITT Gombak, Serendah Baru, Jalan Kastam dilaksanakan di peringkat awal, manakala dua stesen ECRL iaitu Puncak Alam dan Kapar ditetapkan sebagai stesen perancangan masa hadapan dan bakal dibina mengikut keperluan.
"Perlu saya tegaskan di sini keputusan kerajaan Selangor ini adalah dibuat setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terbabit dengan Projek ECRL seperti MOT dan MRL, pihak berkuasa tempatan, serta agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor membuat keputusan yang bermatlamat untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan ekonomi bukan saja khusus untuk Selangor malah Malaysia amnya.
"Kerajaan Selangor juga berterima kasih kepada pihak MOT dalam mengadakan lebih 37 sesi libat urus yang membabitkan 17 jabatan dan agensi kerajaan Selangor serta 12 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dalam proses memuktamadkan jajaran ECRL bagi Seksyen C setelah kelulusan dari Jemaah Menteri.
Amirudin berkata, kerajaan Selangor kekal positif dan peka terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan memilih Jajaran Utara, yang antaranya dapat merancakkan kawasan Serendah sebagai lokasi penting hab pemindahan/pertukaran kargo baharu di Selangor.
Beliau berkata, kerajaan negeri berterima kasih kerana inisiatif seterusnya akan menambah pertumbuhan industri seperti automotif, pengkeretapian, besi waja dan aeroangkasa oleh syarikat utama.
"Jajaran Utara akan merangkumi Pintasan Serendah (Serendah Bypass) dalam laluan ECRL, dan seterusnya menyelesaikan masalah kesesakan servis kargo yang kerap dihadapi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) semasa melintasi pusat bandar Kuala Lumpur," katanya.
Source: Bharian.com.my