News & Articles Mah Sing dapat pelepasan pasarkan sarung tangan ke AS

Mah Sing dapat pelepasan pasarkan sarung tangan ke AS


7 Dec 2021
Mah Sing dapat pelepasan pasarkan sarung tangan ke AS
KUALA LUMPUR: Mah Sing Healthcare Sdn Bhd, unit perniagaan penjagaan kesihatan Mah Sing Group Bhd, akan memasarkan sarung tangan pemeriksaan gred perubatan di Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat pelepasan pemberitahuan prapasaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS.

Pemaju hartanah itu, yang mempelbagaikan kepada pembuatan sarung tangan pada tahun ini, berkata anak syarikat itu menerima surat pemberitahuan FDA AS bertarikh 4 Disember 2021, mengenai pelepasan pemberitahuan prapasaran 510(k) untuk memasarkan sarung tangan pemeriksaan nitril.

"Ini akan dikemas kini di laman web FDA dalam masa terdekat," menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bahagian sarung tangan Mah Sing mula beroperasi pada Mei 2021. Pada Jun, syarikat mengumumkan pihaknya bersedia untuk mengeksport ke Eropah selepas mendapat pensijilan penandaan Conformitè Europëenne (CE) PC Management System Pvt Ltd dan pensijilan untuk sarung tangan pemeriksaan nitril dan lateks TUV Rheinland LGA Products GmbH.

"Dengan pelepasan 510(k) ini, pengeluaran lesen peranti perubatan baru-baru ini daripada Health Canada dan sementara menunggu siapnya pensijilan Peraturan Peranti Perubatan (MDR) EU, Mah Sing Healthcare akan dapat mengeksport sarung tangan gred perubatan ke pelbagai pasaran yang lebih luas, termasuk pasaran utama seperti AS, Kanada dan Eropah," katanya.

Mah Sing berkata, pada bulan ini, ia dijangka menyelesaikan pengoperasian semua 12 barisan pengeluaran di bawah fasa pertama perniagaan sarung tangannya.

"Mesin celup sarung tangan berkelajuan tinggi baharu ini dapat menghasilkan 38,000 unit sarung tangan untuk setiap barisan pengeluaran dalam tempoh sejam, membolehkan kapasiti pengeluaran maksimum sehingga 3.68 juta unit sarung tangan setahun," katanya.

Kilang sarung tangan Mah Sing Healthcare adalah kilang dengan automasi yang tinggi untuk meningkatkan keberkesanan kos.

Ia dilengkapi dengan ciri jalur automatik, kiraan automatik dan penyusunan automatik serta penyelesaian untuk kecekapan yang lebih tinggi.

Mah Sing berkata, pihaknya turut merancang untuk memasukkan barangan ke dalam kotak secara automatik dalam masa terdekat dengan bekerjasama dengan pakar automasi pembungkusan.

Katanya, pihak pengurusannya bertekad untuk melaksanakan amalan pembuatan yang dipertingkatkan dan akan mematuhi sepenuhnya alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peraturan antarabangsa lain seperti pematuhan Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

"Permintaan untuk sarung tangan dijangka kekal stabil berikutan peningkatan struktur permintaan, kebimbangan mengenai jangkitan semula, peningkatan kesedaran mengenai kesihatan dan keperluan pematuhan kepada kebersihan untuk sektor penjagaan kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan," katanya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia