News & Articles PR1MA, Sinergi Dayang bina 763 rumah mampu milik

PR1MA, Sinergi Dayang bina 763 rumah mampu milik


9 Dec 2021
PR1MA, Sinergi Dayang bina 763 rumah mampu milik
PETALING JAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Sinergi Dayang Sdn Bhd akan membina secara bersama 763 rumah mampu milik di Pahang.

Kerjasama itu akan dilaksanakan selepas Sinergi Dayang yang juga anak syarikat WZ Satu Bhd menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama dengan PR1MA.

Ia akan membolehkan kedua-dua pihak membangunkan rumah teres dua tingkat di Residensi D'Marina Fasa 2, Kuantan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM218 juta.

Projek yang dibahagikan kepada enam fasa itu dijangka bermula pada Julai 2022 dan disasarkan siap pada 31 Disember 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata seiring dengan peningkatan permintaan rumah mampu milik yang berkualiti terutama di lokasi strategik yang pesat membangun, kerajaan menerusi agensi di bawah KPKT akan mempergiatkan usaha pembinaan.

Beliau berkata, langkah itu juga sejajar dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang meletakan sasaran membina lebih 500,000 rumah mampu milik.

"Saya berharap agensi kerajaan seperti PR1MA akan terus melaksanakan mandat yang diberikan kepada mereka dengan lebih efisien, efektif dan amanah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama PR1MA dan Sinergi Dayang di sini, hari ini.

Perjanjian ditandatangani secara bersama antara Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinergi Dayang, Azlan Shah Mohd Yusoh.

Turut hadir adalah Pengerusi Eksekutif dan Presiden WZ Satu Bhd, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Pembangunan terbaharu rumah mampu milik itu adalah kesinambungan kepada projek Residensi D'Marina Fasa 1 yang kini berada pada tahap 71.63 peratus siap.

Residensi D'Marina Fasa 1 menunjukkan minat yang menggalakkan di kalangan pembeli dengan 96 peratus sudah terjual sepenuhnya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, kerjasama antara kumpulan dengan PR1MA akan diteruskan ke Fasa 3 bergantung kepada permintaan daripada pembeli.

"Kami berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh KPKT serta PR1MA," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia