News & Articles 38 Pemilik Flat PKNS Sungai Baru, Kampung Baru Ditawarkan Pangsapuri Bernilai RM300,000
38 Pemilik Flat PKNS Sungai Baru, Kampung Baru Ditawarkan Pangsapuri Bernilai RM300,000
Pemaju projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru, Ritzy Gloss Sdn Bhd bersedia menawarkan pangsapuri bernilai RM300,000 kepada 38 pemilik flat PKNS Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan projek tersebut, lapor Bernama.
Pengarah Ritzy Gloss Abdul Hadi Ahmad berkata tawaran pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi melalui pakej harmoni itu boleh dimiliki dengan separuh harga daripada jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima oleh setiap pemilik flat.
“Sebagai contoh, pemilik yang menerima jumlah pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki pangsapuri ini dengan harga RM125,000.
“Kediaman ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air berserta satu tempat letak kereta yang akan dibina di dalam kawasan projek pembangunan semula itu,” katanya pada sidang media mengenai projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata tawaran itu akan dikemukakan kepada pemilik flat berkenaan selepas mereka menerima jumlah rasmi nilai pampasan pengambilan tanah daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKTPG) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sabtu lepas, sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru melakukan bantahan terhadap projek pembangunan semula kawasan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan tawaran pampasan rendah di bawah tatacara Akta Pengambilan Tanah 1960.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata pihaknya menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dilaksanakan pada Januari 2021 selepas rundingan lima tahun tidak berjaya mendapat persetujuan keseluruhan pemilik flat.
“Setakat ini, 85 peratus atau 226 pemilik flat telah bersetuju dengan projek pembangunan semula kawasan ini dan sekiranya 38 lagi pemilik flat bersetuju, projek tersebut dijangka boleh dimulakan antara Jun atau Julai tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru Zulfakar Wahid berkata usaha untuk mendapatkan persetujuan keseluruhan penduduk bagi projek pembangunan semula itu telah dimulakan pada 2016 namun hanya minoriti sahaja yang tidak menyokongnya.
“Orang (pemilik) yang menyokong sudah 85 peratus dan setiap majoriti harus diberi keutamaan, kesian orang yang sudah pindah ke rumah transit, menyewa di luar dan sudah ada yang meninggal dunia sementara menunggu projek ini dilaksanakan,” katanya.
Zulfakar turut menjelaskan kekeliruan orang ramai bahawa projek pembangunan Kampung Sungai Baru tersebut adalah berbeza dengan pembangunan semula Kampung Baru di bawah Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS).
Source: thevocket.com
Latest Posts
-
LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah
-
Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih
-
RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline
-
Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang
-
Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia