News & Articles Jualan Tanah Lot 41 untuk pendanaan pelan rasionalisasi 1MDB - PAC

Jualan Tanah Lot 41 untuk pendanaan pelan rasionalisasi 1MDB - PAC


14 Dec 2021
Jualan Tanah Lot 41 untuk pendanaan pelan rasionalisasi 1MDB - PAC
Kuala Lumpur: Penjualan tanah geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata, pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Disember 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Disember 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember tahun sama.

PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 September lalu, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

"Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata, tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017 dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.

"Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan," kata Wong.

PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

"Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah 'Tiada', Syarat Nyata 'Tiada' dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000," katanya.

Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada 'Tiada' kepada 'Bangunan' dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.

BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.

Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2020.

Source: hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia