The Amber Residences serlah komitmen inovasi Gamuda
SHAH ALAM: Gamuda Land, unit hartanah Gamuda Bhd menyempurnakan acara 'topping off' bagi projek apartmen servis, The Amber Residences, twentyfive.7 di Kota Kemuning.
Projek yang dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) digital Gamuda mempamerkan komitmen pemaju hartanah itu terhadap inovasi serta kecemerlangan pembinaan di bawah Pelan Hijau Gamuda 2025.
Penyempurnaan 'topping off' The Amber Residences juga menyerlahkan kerancakan twentyfive.7, dengan meletakkan inisiatif Quayside Mall dan Quayside sebagai pertumbuhan di seluruh perbandaran itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata pembinaan The Amber Residences menggunakan IBS Digital Gamuda menjadi pendekatan jaminan kualiti yang lebih baik.
"Selepas lulus ujian SIRIM dan penilaian kebakaran, produk ini juga dibina dengan ketepatan tinggi, sekali gus menggunakan ruang secara berkesan tanpa memerlukan rasuk atau tiang.
"Melalui penggunaan robotik, peralatan reka bentuk digital dan platform perkongsian data, IBS Digital Gamuda menyerlahkan komitmen Gamuda Land terhadap inovasi pembinaan, kemampanan dan kecemerlangan pembinaan The Amber Residences.
"Menerusi teknologi IBS Digital Gamuda, ia menjadi transformasi digital Gamuda Land yang berterusan merentasi operasinya, selaras dengan Pelan Hijau Gamuda 2025, rangka kerja komprehensif yang meletakkan sasaran ketara kumpulan yang dipacu oleh dimensi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis 'topping off' The Amber Residences di sini, hari ini.
The Amber Residences menetapkan nadi kosmopolitan twentyfive.7 sebagai komuniti bertenaga dengan pemandangan di tepi dermaga, selain dilengkapi pelbagai kemudahan yang boleh diakses penduduk dan pelawat.
Dilancarkan pada Mei 2019, The Amber Residences yang dapat memenuhi keperluan keluarga dan profesional muda yang bekerja, ditawarkan dengan keluasan binaan dari 552 kaki persegi di dua menara kediaman, membabitkan tawaran sejumlah 596 unit dengan unit terhad masih tersedia.
Apartmen servis sedia diduduki itu dilengkapi dengan pendingin hawa, dapur pasang siap sepenuhnya dan pelbagai lagi bagi memudahkan perjalanan pemilikan kediaman golongan muda.
Projek berkenaan turut merangkumi podium runcit terdiri daripada 34 lot kedai dua tingkat.
Perbandaran twentyfive.7 merangkumi projek pembangunan berkeluasan 104 hektar di Kota Kemuning, kawasan perbandaran pertama Gamuda Land di Malaysia yang menghubungkan pelbagai laluan utama seperti Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) termasuk Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Source: Bharian.com.my