News & Articles Pelabuhan Klang pecah rekod pengendalian kontena

Pelabuhan Klang pecah rekod pengendalian kontena


30 Dec 2021
Pelabuhan Klang pecah rekod pengendalian kontena
KUALA LUMPUR: Pelabuhan Klang memecahkan rekod jumlah pengendalian kontena sebanyak 13.64 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setakat 28 Disember 2021 meskipun berdepan pelbagai cabaran antaranya COVID-19, kesan kekurangan kontena, kesesakan pelabuhan dan terkini, cuaca buruk.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pertumbuhan itu disumbangkan terutama daripada langkah proaktif kerajaan dalam memudahkan sektor pelabuhan dan logistik Malaysia ketika pandemik, dengan memastikan industri terus mara memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

"Beberapa pakej rangsangan ekonomi telah diperkenalkan bagi mempercepat proses pengedaran dan penghantaran termasuk pelancaran program vaksinasi untuk pekerja sektor pelabuhan dan logistik pada Jun 2021 yang memberikan jaminan dan perlindungan kepada industri untuk meneruskan operasi secara penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, sebahagian besar kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha bersepadu peserta logistik dan agensi kerajaan di Pelabuhan Klang yang diketuai Lembaga Pelabuhan Klang.

"Operator terminal iaitu Northport dan Westports menguruskan operasi dengan cemerlang untuk mengendalikan jumlah tambahan dengan mengoptimumkan sumber yang ada dan bergantung kepada peningkatan penggunaan pendigitalan untuk menangani pelbagai cabaran," katanya.

Menurutnya, jumlah operasi kontena yang dikendalikan di pelabuhan itu memperoleh semula momentum berikutan pembukaan semula ekonomi global secara beransur-ansur pada tahun ini.

Sehingga November 2021 berbanding Januari hingga November 2020, beliau berkata jumlah import mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus berbanding 2020, pertumbuhan eksport sebanyak 4.8 peratus, manakala pemunggahan meningkat 5.6 peratus.

"Walaupun banjir baru-baru ini memberi kesan ketara kepada operasi pelabuhan, jumlah pengendalian kontena harian Pelabuhan Klang dijangka mencapai 13.75 juta TEU menjelang akhir tahun ini, menjadikannya sebagai prestasi terbaik sejak operasi kontena dimulakan pada 1973.

"Unjuran bagi 2022 kekal optimis terhadap pertumbuhan akan datang berikutan kelebihan daya saing Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terkemuka di Asia, lokasi geografinya yang strategik, di samping dasar proaktif kerajaan yang diharap mengukuhkan lagi industri logistik," katanya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025