News & Articles Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus dijangka dibuka 13 Januari

Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus dijangka dibuka 13 Januari


5 Jan 2022
Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus dijangka dibuka 13 Januari
Georgetown: Projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus dijangka dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya pada 13 Januari ini.

Ia susulan pembinaan laluan membabitkan projek di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sudah siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya gembira mengenai projek berkenaan yang siap selepas proses pembinaan selama enam tahun.

"Projek itu sudah tertangguh beberapa kali kerana insiden tanah runtuh, kekangan pandemik Covid-19 dan beberapa isu teknikal yang membabitkan kerja tambahan.

"Namun, ia sudah siap sekarang dan diharap projek ikonik ini akan dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas pada kadar sehingga 30 peratus," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Terdahulu, Zairil bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Datuk Bandar Georgetown Datuk Yew Tung Seang dan Setiausaha MBPP A Rajendran, melawat tapak projek itu, semalam.

Laluan dengan ketinggian 60 meter berkenaan dijangka menjadi lebuh raya yang paling tinggi di Malaysia, selepas jambatan Lebuhraya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass dengan ketinggian 58.2 meter.

Projek lebuh raya sepanjang 5.5 kilometer (km) itu menelan belanja sebanyak RM545.6 juta, terdiri daripada tiga bahagian yang menghubungkan Paya Terubong dan Relau.

Menurut Zairil, kerajaan negeri menerusi MBPP bertanggungjawab ke atas pembinaan laluan sepanjang 3.3 km yang menelan belanja RM275.6 juta.

Sementara dua lagi pemaju, PLB Land Sdn Bhd dan Geo Valley Sdn Bhd masing-masing bertanggungjawab bagi baki laluan sepanjang 1.4 km membabitkan kos RM150 juta, dan 0.8 km (RM120 juta).

Menurut Zairil, dua bahagian lagi oleh syarikat swasta itu tidak akan siap tahun ini, manakala bahagian tanah PLB dijangka siap pada 2025.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia