News & Articles HOMEVEST disenaraikan di 1Exchange Singapura

HOMEVEST disenaraikan di 1Exchange Singapura


14 Jan 2022
HOMEVEST disenaraikan di 1Exchange Singapura
KUALA LUMPUR: Homevest Sdn Bhd (HOMEVEST) disenaraikan dalam platform 1Exchange (1X), sebuah pasaran sekuriti swasta pertama di Singapura.Platform berkenaan di kawal selia oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Proses penyenaraian berlangsung semalam (12 Januari) di sebuah lokasi di ibu kota dengan dimeterai pemukulan gong secara maya, demikian mengikut syarikat dalam satu kenyataan.

"Status yang baru diperoleh di 1Exchange ini akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam pembangunan hartanah dan pemerolehan projek," katanya.

Berpusat di hab kewangan global Singapura, 1X ialah bursa sekuriti swasta terkawal pertama dengan lesen Pengendali Pasaran Diiktiraf yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura.

1X adalah sebahagian daripada CapBridge Financial, disokong oleh Singapore Exchange (SGX), SGInnovate, Hong Kong Cyberport dan Hanwha Investment yang berpusat di Korea Selatan, antara pemegang saham strategik/institusi yang lain.

Selain itu, syarikat berkata, langkah berkenaan membolehkan HOMEVEST mempelbagaikan pangkalan pelaburnya dengan berkembang kepada komuniti yang lebih luas secara global dan digital.

Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST, Datuk KY Lim melihat penyenaraian itu sebagai satu rahmat sempena pembuka tahun 2022."Penyenaraian di 1Exchange semalam menandakan satu peristiwa yang bersejarah untuk syarikat kami.

"Ia membawa kami selangkah lebih dekat ke arah mencapai visi kami dalam membentuk komuniti 'smart living' dan mampan dengan hubungan yang erat.

"Kami berbesar hati atas penyenaraian itu. Lebih utama 1exchange menjadi pasaran sekuriti swasta yang pertama dikawal selia oleh MAS di Singapura dalam ekosistem pasaran swasta, Capbridge Financial," kata Lim.

Tambah beliau lagi, Singapura adalah salah satu hab kewangan terkemuka di dunia.

"Negara itu juga sebuah pasaran yang ada daya tarikan kerana berdaya saing dan reputasinya dalam persekitaran perniagaan, infrastruktur dan sektor kewangan.

"Pada tahun 2020, pandemik COVID-19 telah menggendalakan hampir kesemuanya di serata dunia. Kami mengambil masa ini untuk mentakrifkan semula matlamat Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami untuk kehidupan selepas pandemik.

"Kami percaya pada kepentingan amalan lestari dan komited terhadap mengutamakan kemampanan dalam perniagaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST, Datuk Marcus Low cukup optimis dengan penyenaraian berkenaan.

"Saya mempercayai masih terdapat potensi besar dalam pasaran hartanah Malaysia, dengan purata harga hartanah Malaysia adalah paling rendah jika dibandingkan dengan di Cina, Australia, Singapura dan negara Asia Tenggara yang lain.

"Sejauh mana kami terus menawarkan penyelesaian harga mampu milik kepada pelanggan, kami tetap komited untuk melabur semula keuntungan demi pertumbuhan yang mampan dan menjana pulangan untuk pemegang saham," kata Low.

Sementara itu, Ketua PegawaI Eksekutif 1Exchange, Victor Chia amat teruja dengan kerjasama terjalin.

"Kami berasa amat gembira kerana HOMEVEST telah memilih 1Exchange sebagai lokasi penyenaraiannya.

"Sebagai peneraju perniagaan pelaburan hartanah, pengurusan dan pembangunan di Malaysia, syarikat itu menawarkan nilai pulangan kepada rakan niaganya untuk menjadikan pemilikan rumah lebih berpatutan dan mudah diperoleh.

"1Exchange bangga untuk menjadi rakan niaga mereka dan kami menantikan pertumbuhannya yang berterusan," kata Chia.

Turut hadir memeriahkan simbolik acara itu ialah Penasihat Korporat, Datuk Muhammad Faizal Zainol; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Puar Chin Jong; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Hong Boon Toh; Ketua Pegawai Eksekutif CapBridge & Pengasas CapBridge Financial Group, Johnson Chen dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Global Pasaran Modal Ekuiti SGX, Mohamed Nasser.

HOMEVEST terdiri daripada tiga bahagian merangkumi HOMEVEST Capital, HOMEVEST Living dan HOMEVEST Development. Syarikat ini berkecimpung dalam perniagaan pelaburan hartanah, pengurusan, pemerolehan dan pembangunan.

Ia sebelum ini dikenali sebagai KYY Empire dan ditubuhkan pada 2016 telah meninggalkan impak yang besar pada pasaran hartanah Malaysia dengan penyelesaian hartanahnya secara yang unik dan inovatif.

Ia turut mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah di serata rantau dalam tempoh lima tahun ini. Ia kini sedang menguruskan portfolio hartanah bernilai RM328 juta yang merangkumi Lembah Klang dan Johor Bahru.

Ia berdaftar sebagai sebuah syarikat yang mendapat pengiktirafan ISO dan memiliki pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001 dan Sistem Pengurusan Alam Sekitar ISO14001.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia