News & Articles Haily dapat kontrak RM41 juta di Johor

Haily dapat kontrak RM41 juta di Johor


25 Jan 2022
Haily dapat kontrak RM41 juta di Johor
KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan berpangkalan di Johor, Haily Group Bhd (Haily) memperoleh kontrak RM41.28 juta untuk membina vila resort eksklusif di Iskandar Puteri, yang terbesar diperoleh kumpulan itu sejak penyenaraian di Pasaran ACE pada Julai 2021.

Haily dalam satu kenyataan berkata, anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn Bhd pada 24 Januari 2022 menerima Surat Anugerah daripada DP Architects Sdn Bhd bagi pihak Country View Resources Sdn Bhd untuk pembinaan Fasa 1 Pembangunan Strata Resort Pelancongan yang terletak di Aurora Sentral, Pulai, Johor.

Country View Resources Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh Country View Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).

Di bawah kontrak itu, Haily diamanahkan untuk membina 121 unit Vila Link dua tingkat, satu unit pencawang TNB dan satu unit ruang sampah.

Tempoh keseluruhan projek ialah 18 bulan, dan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada 28 Januari 2022 dan siap pada 28 Julai 2023.

Ia adalah kontrak ketiga yang diraih oleh Haily berhubung dengan Aurora Sentral dalam tempoh kurang setahun. Pada Mac 2021, Haily telah dilantik untuk membina 147 Link Villa di Aurora Sentral dengan harga RM45.08 juta dan rumah kelab dengan kolam renang berharga RM6.74 juta.

Dengan penambahan projek baharu itu, nilai buku pesanan tertunggak Haily menyediakan prospek jelas pendapatan sehingga 2023.

Pelantikan Haily untuk membangunkan Aurora Sentral yang berprestij di tengah-tengah bandar pentadbiran Johor adalah selaras dengan matlamat kumpulan untuk mengembangkan kehadirannya dalam landskap pembinaan tempatan.

Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai, berkata cabaran dalam keseluruhan ekonomi dan industri pembinaan tidak menghalang pertumbuhan syarikatnya.

Beliau berkata, dalam tempoh lima bulan yang lalu saja, syarikatnya telah berjaya memperoleh tujuh kontrak, termasuk daripada syarikat tersenarai terkenal seperti IOI Properties Group Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Country View Bhd.

Katanya, ia adalah bukti rekod prestasinya yang terbukti dan keupayaan untuk menyampaikan kerja pembinaan yang berkualiti mengikut keperluan pelanggan.

"Di tengah-tengah ketidaktentuan yang timbul daripada pandemik COVID-19, kami optimistik secara berhati-hati terhadap prospek kami dan prospek industri pembinaan, memandangkan jangkaan pemulihan ekonomi keseluruhan tahun ini.

"Kumpulan akan kekal memberi tumpuan kepada pembinaan bangunan kediaman, sambil berkembang ke pembinaan bangunan perindustrian," katanya.

Melangkah ke hadapan, strategi jangka sederhana Haily termasuk tumpuan yang lebih besar kepada kecekapan terasnya dalam landskap pembinaan bangunan Johor serta mengembangkan ke daerah lain di Johor iaitu dari Johor Bahru dan daerah Kulai ke daerah lain di negeri ini.

Di samping itu, Haily menyasarkan untuk mempercepatkan pertumbuhan produktiviti dan meningkatkan kecekapan operasi melalui pembelian jentera pembinaan baharu serta pengurusan kontrak dan perisian perakaunan.

Syarikat itu positif bahawa kontrak untuk Fasa 1 Pembangunan Strata Resort Pelancongan yang terletak di Aurora Sentral, Pulai, Johor, akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan sepanjang tempoh projek.

Kontrak terbaharu itu susulan kejayaan Haily memperoleh pelbagai tender untuk projek pembinaan berjumlah lebih RM100 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021.

Haily Construction telah memperoleh kontrak RM40.67 juta pada 20 Disember 2021 daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd untuk membina 99 unit pejabat kedai tiga tingkat di Tebrau, Johor.

Pada 12 November 2021, syarikat itu menerima Surat Anugerah daripada Nice Frontier Sdn Bhd untuk projek perumahan komuniti di Kulai, Johor bernilai RM14.57 juta.

Syarikat itu pada 5 November 2021, menerima anugerah untuk projek kediaman oleh Factor Synergy Sdn Bhd bernilai RM23.70 juta.

Haily Construction juga, pada 2 November 2021, telah menerima anugerah bagi projek perumahan kediaman oleh Gunung Impian Development Sdn Bhd yang terletak di Tebrau, Johor bernilai RM27.21 juta.

Sementara itu, pada 18 Oktober 2021, ia memenangi kontrak RM24.5 juta daripada Meridin East Sdn Bhd untuk projek kediaman teres di Plentong, Johor Bahru.

Dalam sembilan bulan tahun kewangan 2021 berakhir 30 September 2021, Haily mencatatkan pendapatan RM89.43 juta dan untung bersih RM3.05 juta.

Lembaran imbangan kumpulan juga kekal kukuh, dengan tunai dan deposit jangka pendek sebanyak RM38.35 juta berbanding jumlah pinjaman sebanyak RM1.92 juta.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia