UDA sasar lonjakan di wilayah selatan
KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd (UDA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan lonjakan bagi perniagaan di wilayah selatan menerusi pelancaran projek hartanah baharu dan pelbagai inisiatif terkini di pusat beli-belah.
Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti itu terus mengorak langkah dalam merancang pelan terbaik bagi memajukan perniagaan di wilayah selatan terutama dari segi hartanah serta pusat beli-belah dalam merealisasikan hasrat untuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
"Pada tahun ini, UDA di wilayah selatan akan melancarkan dua projek hartanah baharu iaitu Pisonia Ville dan Areca Terrace," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany, berkata perniagaan hartanah UDA di Johor sentiasa menitikberatkan keperluan pelanggan dan ia yakin permintaan rumah teres dua tingkat menjadi tumpuan.
"Pada pertengahan tahun ini, UDA bakal menawarkan 225 unit kediaman teres dua tingkat menerusi pelancaran Pisonia Ville Pakej 2 (53 unit) dan Areca Terrace (172 unit).
"Pisonia Ville Pakej 2 dan Areca Terrace bakal dibangunkan di Bandar UDA Utama berstatus pegangan kekal. Perbandaran berkeluasan 190.2 hektar itu terletak di lokasi strategik bersebelahan Tol Perling dan dikelilingi taman perumahan yang matang.
"Selain itu, ia turut berdekatan dengan pelbagai kemudahan serta akses mudah ke pusat beli-belah, pasar raya, bank dan sekolah," katanya.
Pisonia Ville Pakej 2 bersaiz 25' x 75' adalah teres dua tingkat yang luas dan menyediakan pilihan lima atau enam bilik tidur.
Jenis kediaman ini bersesuaian untuk keluarga besar sehingga tiga generasi yang mengutamakan ruang luas untuk bersantai.
Areca Terrace pula bersaiz 20' x 65' dengan kemudahan empat bilik tidur dan tiga bilik air mengetengahkan rekaan moden serta 10 kaki halaman belakang berumput untuk pengubahsuaian di masa akan datang.
Mengulas mengenai perniagaannya di Angsana Johor Bahru Mall, Mohd Salem berkata, ia terus utuh melihat pada kadar penghunian yang melebihi 90 peratus pada tahun lalu.
Katanya, UDA optimis dalam memastikan kompleks itu terus menerima aliran pengunjung yang tinggi, popular serta terus unggul sebagai destinasi beli-belah utama di selatan tanah air khususnya di Johor Bahru.
"UDA turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun menerusi Program Insentif Usahawan UDA bertujuan menggalakkan usahawan baharu untuk berniaga di kompleks beli-belah milik UDA.
"Selain itu, ia turut membantu kelangsungan perniagaan pada waktu pandemik dan telah memanfaatkan usahawan di Angsana Johor Bahru Mall," katanya.
Tambahnya, bagi merancakkan aktiviti dan perniagaan di pusat beli-belah itu, Angsana Johor Bahru Mall bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini seperti sukan pemotoran 'Go-Kart', 'Angsana Food Trucks Centre', 'Nursery & Landscaping' dan 'Car Boot Sales'.
"Angsana Johor Bahru Mall sentiasa membawakan kepelbagaian jenis perniagaan dan produk bagi memudahkan pengunjung mendapatkan semua keperluan di bawah satu bumbung.
"Sebagai agensi di bawah MEDAC, UDA turut memperkenalkan premis runcit diberi nama 'MARI Mart' bertujuan membantu usahawan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memasarkan produk jualan mereka.
"MARI Mart yang terletak di Aras 2, Angsana Johor Bahru Mall dengan keluasan 1,914 kaki persegi adalah kolaborasi antara UDA dan TEKUN Corporation dan sudah memasarkan 2,000 produk usahawan PMKS sejak 1 Januari lalu," katanya.
MARI Mart yang pertama dibuka pada Oktober tahun lalu di Angsana Ipoh Mall, salah sebuah pusat beli-belah di bawah seliaan UDA.
UDA menyasarkan untuk membuka dua lagi MARI Mart tahun ini bagi memperkasa aktiviti keusahawanan tempatan.
Norliza turut melawat tapak projek Morten Walk di Kampung Morten, Melaka yang dijangka beroperasi pada April 2022 dan bakal menawarkan 50 ruang perniagaan khususnya usahawan PMKS.
Morten Walk yang berkonsepkan kabin kontena moden dan trendy bakal menjadi tumpuan pengunjung kerana lokasinya yang strategik bersebelahan Sungai Melaka serta berdekatan tarikan pelancong seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari.
Usahawan digalakkan mengambil peluang baik ini untuk mengembangkan perniagaan sedia ada atau memulakan perniagaan baharu di lokasi yang kondusif ini.
Source: Bharian.com.my