News & Articles PKPJ agensi utama urus hartanah, perumahan di Johor

PKPJ agensi utama urus hartanah, perumahan di Johor


10 Feb 2022
PKPJ agensi utama urus hartanah, perumahan di Johor
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) sebagai agensi utama yang akan menguruskan perumahan dan hartanah di Johor berkuat kuasa 30 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, PKPJ bertanggungjawab dalam merancang, membangunkan, mengawal dan menguatkuasa semua perkara yang berkaitan dengan perumahan dan hartanah di negeri ini.

Beliau berkata, semua tugas dan operasi yang sebelum ini berada di bawah peranan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan akan diserapkan di bawah PKPJ.

Tambahnya, sudah tiba masanya Johor mempunyai sebuah agensi atau badan yang bertanggungjawab sepenuhnya bagi hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan perumahan di Johor.

“PKPJ berfungsi sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam merancang, membangunkan, mengawal dan menguatkuasa semua perkara yang berkaitan itu melalui Enakmen Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor 1976.

“Mengambil contoh dan rujukan daripada Housing Development Board (HDB) Singapura, diharap pengurusan, pentadbiran, pembangunan dan pemilikan berkaitan perumahan di negeri Johor yang dipertanggungjawab kepada PKPJ akan bergerak lebih rancak dan proaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayub berkata, PKPJ kini diterajui seorang Pengurus Besar, Suhailizan Suliman iaitu bekas Pegawai Kanan kerajaan negeri dan merupakan seorang yang berpengalaman luas serta berprestasi tinggi.

Katanya, buat sementara waktu, PKPJ beroperasi di Pejabat SUKJ Bahagian Perumahan di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar di Iskandar Puteri.

“Penguatkuasaan PKPJ ini merupakan penyusunan semula struktur organisasi dan merupakan satu usaha ke arah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di negeri Johor. Harapan saya agar PKPJ dapat menjalankan fungsinya dengan pantas, cekap, efisien dan berdaya maju demi memudahkan urusan semua pihak yang terlibat.

“Selain itu memastikan tiada rakyat yang terbeban dan seterusnya dapat menyediakan kediaman yang kondusif dan berkualiti selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam menyediakan “Quality and Value Home” untuk rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia