Iskcap bangun projek perumahan untuk B40, M40
ISKANDAR PUTERI: Iskandar Capital Sdn Bhd (Iskcap) akan membangunkan projek Skim Perumahan Pelbagai Pendapatan di Wawari, pembangunan mampan seluas 1,214 hektar.
Projek khusus untuk golongan B40 dan M40 itu akan dibangunkan di atas tapak berkeluasan 5.22 hektar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, berkata adalah penting kerjasama erat di antara kerajaan Johor dan sektor swasta dalam merealisasikan agenda negeri itu.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya amat mengalu-alukan dan berbangga dengan inisiatif Kumpulan Iskandar Investment Bhd (IIB) yang memahami aspirasi kerajaan Johor dan memulakan projek inklusif serta mampan melalui Skim Perumahan Pelbagai Pendapatan di Wawari, Iskandar Puteri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammed Ridha berkata, pembangunan infrastruktur mesti diseimbangkan dengan pembangunan sosial terutama yang membabitkan pembangunan bakat, penciptaan pekerjaan dan transformasi minda bagi menyediakan rakyat Johor untuk menghadapi pembangunan masa hadapan.
"Projek MIH adalah contoh terbaik di mana sebuah projek memastikan pembangunan holistik dan kehidupan harmoni masyarakat bersepadu diambil kira," katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Khairil Anwar Ahmad yang juga Pengerusi Iskcap berkata, skim MIH adalah satu model yang menggalakkan pembinaan perumahan yang adil, saksama, inklusif dan mampu milik untuk semua peringkat pendapatan di Johor.
"Melalui inisiatif ini, golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) boleh menjadi jiran dan tinggal dalam satu komuniti.
"Iskcap komited untuk terus menyokong kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan masyarakat setempat dan meningkatkan bilangan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Johor," katanya.
MIH bertujuan meminimumkan jurang sosial dengan mewujudkan kepelbagaian komuniti di mana semua lapisan masyarakat hidup harmoni dalam satu komuniti bersepadu, dihubungkan oleh elemen hijau dari aspek infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan.
Inisiatif MIH turut menawarkan fasiliti penting untuk memudahkan mobiliti dan mempunyai elemen kelestarian seperti penuaian air hujan, panel solar, landskap hijau dan pokok kanopi serta pengurusan sisa.
Usaha ini adalah hasil integrasi bersama Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), atau juga di kenali sebagai Value Homes (VH) dan Value Plus Homes (VPH).
Projek ini memberi tumpuan kepada sasaran pasaran yang lebih luas iaitu dari golongan yang pendapatan rendah hingga sederhana.
Projek sulung MIH ini ditempatkan secara strategik bersebelahan Kolej Malborough Malaysia dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Shiya Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pemilikan Bumiputera sepenuhnya.
Selain itu, majlis hari ini turut menyaksikan kerjasama IskCap dengan empat pihak iaitu Marquis Oil Sdn Bhd, Universiti Putra Malaysia, Awana Asia Sdn Bhd dan Geo Sense Sdn Bhd yang membabitkan inisiatif peningkatan kebolehidupan serta pengukuhan aktiviti pertanian bagi menyokong agenda keselamatan makanan Johor.
Projek sulung MIH akan mula dibina pada 2023 dan dijangka siap pada 2026.
Source: Bharian.com.my