News & Articles Bandar pintar i-City model terbaik, patut dicontohi

Bandar pintar i-City model terbaik, patut dicontohi


18 Feb 2022
Bandar pintar i-City model terbaik, patut dicontohi
Kuala Lumpur: Projek bandar pintar i-City di Selangor menjadi model terbaik yang perlu dicontohi, menurut Exco Perdagangan dan Perindustrian Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Teng berkata, beliau gembira dengan kemajuan i-City sejak penubuhannya pada 2005.

"Saya pertama kali bertemu dengan i-City ketika mewakili penduduk setinggan di sini.

"Saya amat berbangga dengan kejayaan pembangunan yang ditunjukkan, dan saya percaya ia sudah pasti akan meletakkan Selangor sebagai pemain utama dalam pembangunan pendigitalan.

"I-City akan menjadi model untuk banyak pihak, daripada konsep pembangunan kepada kandungan, idea dan bangunan.

"I-Berhad telah membawa idea baharu kepada i-City. Beberapa idea mungkin tidak serasi dengan dasar dan peraturan, tetapi saya percaya bahawa sesetengah daripada mereka agak inovatif.

"Semua orang telah melakukan banyak usaha untuk memastikan projek itu berjalan dengan lancar. Kerajaan negeri juga memainkan peranan dalam pembangunan i-City yang anda lihat hari ini. Jadi kami amat berbesar hati mempunyai pembangunan ini di Selangor," katanya seperti dilaporkan NST Property.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian strategik antara i-City Properties dan China Mobile International bagi membangunkan bandar yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Teng berkata, di sebalik ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, Selangor memberi tumpuan untuk menjadi hab bagi pelabur berpotensi yang ingin mengembangkan rancangan pelaburan mereka di negara ini sambil mencari landasan kukuh di rantau Asean dan pasaran global.

Katanya, kerajaan negeri Selangor memberi keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan industri aeroangkasa dan bioteknologi.

"Kami sentiasa bersemangat untuk bekerjasama dengan industri dan orang berwawasan seperti Tan Sri Lim Kim Hong, yang membantu membentuk i-City menjadi seperti sekarang.

"Kami sedang menyelidik teknologi bandar pintar. Kami berharap dapat bekerjasama dengan i-City untuk membina sebuah bandar pintar di Selangor.

"Ini adalah sebahagian daripada strategi Selangor untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar serantau," katanya.

Menurut Teng, kerajaan Selangor telah memperuntukkan bajet yang cukup besar untuk mengubah negeri itu menjadi negeri pintar serantau.

"Kami akan mengusahakan pembangunan teknologi hijau.

"Kami percaya kami boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi hijau di Malaysia, dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan i-City.

"Dengan pembangunan dan komitmen i-City selama ini, kami percaya kami boleh mengadakan kerjasama yang membuahkan hasil," katanya.

Beliau juga berkata Selangor telah mewujudkan konsep dikenali sebagai taman perindustrian terurus untuk menarik pelaburan baharu ke negeri itu.

"Dalam membangunkan peraturan dan dasar, kami mempertimbangkan pengurusan dan pembangunan i-City.

"Kami merancang untuk membangunkan taman perindustrian terurus kami menggunakan i-City sebagai model, dan kami percaya ia akan berjaya dan akan menarik pelabur," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia