News & Articles Genting Singapore manfaat pembukaan semula sempadan

Genting Singapore manfaat pembukaan semula sempadan


21 Feb 2022
Genting Singapore manfaat pembukaan semula sempadan
KUALA LUMPUR: Unit Genting Bhd, Genting Singapore dijangka meraih manfaat daripada kemasukan lebih ramai pengembara ke Singapura susulan kebenaran membenarkan pengembara yang divaksin sepenuhnya memasuki negara itu tanpa kuarantin, demikian menurut Kenanga Research.

Ia berkata, buat kali pertama sejak pandemik COVID-19 melanda, pengurusan Genting kelihatan lebih optimis dengan lebih banyak persetujuan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bagi membenarkan pengembara mendapat vaksin penuh memasuki Singapura tanpa kuarantin.

"Dengan lebih ramai pengembara kembali ke Singapura adalah petanda baik untuk Genting Singapore," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

Kenanga Research berkata, Genting Singapore akan melabur S$400 juta (RM1.2 bilion) pada 2022 untuk Resorts World Sentosa 2.0 (RWS2.0) dan kerja berkaitan pengubahsuaian untuk taman tema dan tiga hotel bersiap sedia dengan pembukaan semula sempadan.

Keputusan kewangan Genting Singapore bagi tahun kewangan 2021 adalah di bawah jangkaan.

Genting Singapore melaporkan keuntungan teras separuh kedua tahun kewangan 2021 merosot 66 peratus kepada S$38 juta (RM118 juta) berbanding S$115 juta (RM358 juta) pada separuh kedua tahun kewangan 2020, dengan pendapatan susut lapan peratus.

Justeru, ini menjadikan keuntungan teras tahun kewangan 2021 kepada S$149.5 juta (RM465 juta), yang mana di bawah sasaran konsensus sebanyak S$196.3 juta (RM611 juta).

Kenanga Research berkata, walaupun kemunculan varian Omicron menyaksikan kes-kes meningkat dengan pantas di seluruh dunia, kesan varian itu adalah tidak teruk, sementara lebih banyak negara bersetuju secara bersama bagi VTL untuk membenarkan perjalanan.

Justeru, katanya, ia akan memberi manfaat kepada Genting Malaysia dan Genting Singapore, seterusnya memacu pendapatan syarikat induk.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia