News & Articles Sime Darby Property bina taman permainan inklusif

Sime Darby Property bina taman permainan inklusif


3 Mar 2022
Sime Darby Property bina taman permainan inklusif
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd merancang untuk membina lebih banyak taman permainan inklusif di perbandaran dan pembangunan di seluruh Malaysia dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Perbandarannya, Appollo Leong.

Taman permainan inklusif yang digambarkan oleh pemaju hartanah itu direka bentuk dengan kerjasama pengguna akhir penting seperti kanak-kanak kurang upaya dan normal, ibu bapa, datuk dan nenek serta pakar teknikal, seperti organisasi golongan kurang upaya, pengamal dan pendidik intervensi awal, katanya kepada pemberita selepas pelancaran secara maya taman permainan inklusif pertama Malaysia di perbandaran City of Elmina, hari ini.

Beliau berkata syarikat itu mereka bentuk dan membina taman permainan inklusif sulung negara di perbandaran itu sebagai projek perintis.

"Kami ingin menggabungkan sebanyak yang mungkin apa yang kami pelajari daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebagai rakan kongsi.

"Setiap kanak-kanak mempunyai hak yang sama untuk bermain dan menikmati aktiviti luar dan taman permainan inklusif ini akan merealisasikannya," katanya.

Menurut Leong, keperluan perkembangan kanak-kanak adalah penting dan perlu diambil kira apabila mereka bentuk perbandaran.

Mengiktiraf hak kanak-kanak adalah kunci kepada mana-mana komuniti yang mampan, katanya.

Pembinaan taman permainan seluas 0.2 hektar itu bermula pada Februari 2020 dan siap pada November tahun yang sama.

Taman permainan ini mempunyai 37 struktur permainan bersepadu dan 12 peralatan permainan termasuk buaian, trampolin, jala memanjat dan jungkat-jungkit.

Ia juga menggunakan 13 bahan dan kemasan, serta menggabungkan pelbagai unsur semula jadi untuk mewujudkan persekitaran yang penuh dengan pengalaman permainan.

Sime Darby Property mempunyai 25 perbandaran dan pembangunan di seluruh Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Pekeliling Amalan Perniagaan Terbaik dan Kit Panduan telah dikeluarkan semasa pelancaran untuk membantu pemaju hartanah dan majlis perbandaran lain membina ruang inklusif, selamat dan mesra kanak-kanak.

Pakar program UNICEF Malaysia (jantina dan kurang upaya), Zoe Gan berkata kit panduan itu akan memberi inspirasi kepada pemaju hartanah serta majlis perbandaran lain dan ia boleh didapati di laman sesawang UNICEF Malaysia.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia