News & Articles OCR, Acotec guna IBS bina rumah mampu milik

OCR, Acotec guna IBS bina rumah mampu milik


4 Mar 2022
OCR, Acotec guna IBS bina rumah mampu milik
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, OCR Group Bhd akan menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) ahli OSK Group, Acotec Sdn Bhd dalam projek rumah mampu milik, PRIYA Kuantan sebagai sebahagian daripada inisiatif hijaunya.

Ketua Pegawai Pemasaran OCR, Emily Ong, berkata kerjasama strategik yang diwujudkan dengan Acotec mencerminkan sokongan kumpulan terhadap Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025, yang berusaha untuk meningkatkan penggunaan IBS di Malaysia dengan menyasarkan semua projek pembinaan bernilai RM10 juta dan ke atas untuk mendapatkan skor IBS sekurang-kurangnya 70 peratus.

"Ini adalah penggunaan pertama komponen IBS oleh OCR untuk rumah bertanah kami dan ini sebahagian daripada penggunaan berterusan untuk teknologi dan penyelesaian binaan yang mampan untuk membina rumah berkualiti dan mempunyai nilai tambah untuk pembeli.

"Pada masa sama, memanfaatkan teknologi IBS dalam proses pembinaan akan meningkatkan kecekapan pembinaan kami dan mengatasi cabaran kekurangan buruh dalam pasaran.

"Ini dijangka meningkatkan keupayaan kami untuk merealisasikan komitmen kami bagi menyediakan rumah mampu milik ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRIYA Kuantan, projek rumah mampu milik usaha sama pertama OCR dengan Yayasan Pahang, mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM166 juta dan skim rumah mampu milik yang terbesar di Kuantan, Pahang.

Projek itu, yang habis dijual sepenuhnya, disasarkan akan siap mulai pertengahan 2022 dan seterusnya.

Ong berkata, sebagai kaedah binaan cekap yang memendekkan tempoh pembinaan dan memastikan mutu kerja dan kualiti kemasan yang lebih baik, panel dinding Acotec adalah jawapan kepada struktur kos yang lebih rendah, pengurangan kebergantungan kepada buruh asing dan rumah mampu milik yang berkualiti.

"Manfaat daripada penyelesaian IBS turut diperluaskan kepada kelestarian alam sekitar berikutan panel dinding Acotec menggalakkan 'circularity' dengan menggunakan bahan kitar semula sebagai antara elemen tanpa menjejaskan fungsi, keselamatan dan secara praktikal," katanya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia