News & Articles Pembangunan projek ECRL capai kemajuan 27.82 peratus

Pembangunan projek ECRL capai kemajuan 27.82 peratus


10 Mar 2022
Pembangunan projek ECRL capai kemajuan 27.82 peratus
KUALA TERENGGANU: Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 27.82 peratus setakat Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata peratusan itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Katanya, kerja pembinaan infrastruktur di Terengganu telah mencatat kemajuan sebanyak 26.5 peratus bagi tempoh sama.

"Kemajuan ini didorong oleh kerja-kerja tanah, kerja-kerja terowong, kerja-kerja jambatan dan kerja-kerja cerucuk di sebanyak 143 lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, MRL menyasarkan kerja-kerja pembinaan ECRL mencapai kemajuan infrastruktur sebanyak 37 peratus di empat negeri terbabit bagi tahun ini.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer yang merangkumi 59 terowong meliputi panjang keseluruhan 61 kilometer serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 kilometer, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadual siap pada Disember 2026.

Pembinaan tersebut merangkumi masing-masing Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Dalam pada itu, Darwis berkata program 'Mesra ECRL' yang juga satu inisiatif tanggung jawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam menyantuni ekonomi setempat, sosial, rakyat dan alam sekitar, kini diteruskan di persekitaran Stesen ECRL Kuala Terengganu di Durian Guling, hari ini.

"Program yang dijalankan bersama komuniti berdekatan Stesen ECRL Kuala Terengganu ini adalah tepat pada masanya memandangkan kerja-kerja pembinaan stesen di kawasan itu akan bermula pada suku keempat tahun ini," katanya.

Beliau berkata, program itu membabitkan taklimat 'Kenali ECRL' bagi meningkatkan kesedaran penduduk setempat mengenai projek ECRL, sekali gus menyedari manfaat yang bakal diperoleh khususnya bagi komuniti yang menetap dalam radius lima kilometer dari stesen berkenaan.

"Taklimat itu juga membolehkan masyarakat bersedia terhadap perhubungan rel yang lebih moden dan efisien yang akan wujud apabila pembinaan ECRL siap kelak," katanya.

MRL sebelum ini telah melaksanakan program 'Mesra ECRL' di persekitaran Stesen ECRL Bandar Permaisuri dan Stesen ECRL Jerteh, masing-masing pada 15 Februari dan 16 Februari lepas, katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia