SkyWorld perkenal platform e-dagang Solution+
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, SkyWorld Development Group (SkyWorld) melancarkan aplikasi mudah alih baharu, Solution Plus (Solution+), ekosistem dan platform e-dagang pertama di Malaysia yang menghubungkan pemilik rumah SkyWorld dan peniaga.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng, berkata Solution+ dihasilkan bagi menangani isu seperti cadangan dan perbandingan harga untuk perkhidmatan reka bentuk dalaman, pengubahsuaian, perabot dan penyelesaian rumah yang lain dengan kemudahan yang ditawarkan hanya di hujung jari.
"Pemilik rumah SkyWorld dapat menikmati penjimatan hebat dan pakej istimewa daripada rakan kongsi penyelesaian rumah pilihan kami.
"Ini juga akan memendekkan masa penghantaran, sekali gus memudahkan proses membeli-belah pada bila-bila masa, di mana sahaja.
"Tambahan pula, platform ini bertindak sebagai tempat pasaran kreatif untuk rakan kongsi kami mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka juga," katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu yang diadakan di SkyMeridien Residences dekat Sentul, dekat sini, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Chee Seng berkata, SkyMeridien berjaya disiapkan tepat pada masanya biarpun di tengah-tengah pandemik dan sudah diserahkan kepada pemilik masing-masing bermula Sabtu lalu.
Katanya, projek apartmen servis itu adalah sesuai untuk penduduk kota raya yang bercita-cita mencari keseimbangan dalam kerja dan kehidupan.
"Kami positif bahawa pemilik rumah SkyMeridien akan kagum dengan kemudahan, mutu kerja yang berkualiti dan pelaburan yang dibuat untuk membeli rumah ini.
"Berpegang teguh dengan konsep 'Make Living Better', SkyMeridien adalah bangunan hijau diperakui yang direka bentuk untuk menjimatkan tenaga dan sumber," katanya.
Beliau berkata, projek itu juga dilengkapi dengan Sistem Pengumpulan Sisa Automatik (AWCS) bagi menggalakkan persekitaran yang lebih bersih.
"Dengan mengambil kira inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengudaraan silang maksimum, keselesaan terma dan analisis cahaya siang diambil kira semasa mereka bentuk lobi, koridor biasa dan unit kediaman.
"SkyMeridien turut sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga dengan menawarkan 32 kemudahan berinspirasikan resort termasuk kolam renang, gimnasium, bilik permainan arked, ruang istirahat dan kerja, pelbagai kemudahan sukan seperti 'rock climbing' serta gelanggang bola keranjang," katanya.
Source: Bharian.com.my