News & Articles Bantu bina rumah mampu milik guna teknologi IBS

Bantu bina rumah mampu milik guna teknologi IBS


4 Apr 2022
Bantu bina rumah mampu milik guna teknologi IBS
PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) bekerjasama dengan SANY Construction Industry Development (M) Sdn Bhd (SCID) untuk membina rumah mampu milik menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dalam perkongsian yang akan mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan.

Dalam satu kenyataan bersama, PR1MA berkata perkongsian itu mempunyai potensi pelaburan sebanyak RM75 juta di mana SCID, anak syarikat SANY Group yang berpangkalan di China akan membina tiga kilang IBS di lokasi strategik.

"Penggunaan teknologi IBS akan menyumbang kepada pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dengan nilai pembangunan bernilai RM5 bilion," kata kenyataan itu.

Teknologi IBS ialah cara pembinaan moden dan boleh membantu meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan masa pembinaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatannya ke Dubai telah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara PR1MA dan SCIB di Pavilion Malaysia, Ekspo Dubai 2020.

PR1MA dan SCID akan bekerjasama untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan membangunkan inisiatif Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di cawangan SCID di Malaysia dan luar negara.

Pengerusi PR1MA, Datuk Fathul Bari Mat Jahya berkata, kerjasama itu penting bagi mencapai hasrat kerajaan membantu keluarga Malaysia berpendapatan sederhana (M40) memiliki rumah pertama mereka.

Ia juga selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu Satu Keluarga, Satu Rumah dan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetus oleh Perdana Menteri.

PR1MA, sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipertanggungjawabkan untuk membina rumah mampu milik dan meningkatkan pemilikan rumah sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia