SP Setia, TNB jalin kerjasama
Putrajaya: SP Setia Bhd (SP Setia) menjalin kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi merealisasikan cadangan pemasangan solar fotovoltaik (PV) untuk semua unit kediaman dan komersialnya yang akan dilaksanakan bermula tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, komitmen hijau syarikat itu membuktikan sokongan ke arah agenda nasional untuk mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.
Katanya, kerjasama yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) itu tidak hanya membabitkan pemasangan sistem solar PV di atas bumbung, malah merangkumi persediaan pemasangan penyelesaian bateri dalam projek pembangunan kediaman dan komersial serta pembinaan sistem pengecasan bagi projek SP Setia pada masa akan datang.
"TNB akan menyokong projek dengan penyelesaian tersedia iaitu solar PV yang akan mengurangkan dan menjimatkan penggunaan tenaga, ketersediaan bateri untuk menyimpan tenaga solar, dan ketersediaan kenderaan elektrik (EV) merangkumi pembinaan infrastruktur pengecasan untuk menyokong mobiliti hijau.
"Kerjasama dengan TNB ini akan menyaksikan projek pembangunan hartanah SP Setia dilengkapi solar, bateri dan kemudahan serta sokongan EV bermula dengan sebahagian projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion tahun ini.
"Secara tidak langsung, ia menjadikan projek hartanah kami terus berdaya saing, moden, terkini dan berkualiti," katanya pada sidang media selepas pemeteraian MoU SP Setia-TNB di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn dan Pengerusi SP Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
SP Setia turut menjadi pemaju hartanah pertama menyatakan komitmen lestari berskala besar dalam pembangunannya menerusi pemasangan PV dengan sokongan TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga pintar dan tenaga boleh baharu (RE) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada bakal pembeli kediaman dan bangunan komersial yang dibangunkan syarikat pemaju hartanah itu.
Kai Wai berkata, pemasangan penyelesaian hijau di projek hartanah yang dimajukan SP Setia hanya membabitkan peningkatan kos pembinaan sekitar dua peratus manakala kesannya kepada kenaikan harga hartanah adalah minimum.
Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata, kerjasama dengan SP Setia memberi pilihan kepada pelanggan penyelesaian hijau apabila berakhirnya kuota Net Energy Metering (NEM).
"Premis juga akan direka bentuk untuk menyokong kemudahan pemasangan pengecas EV apabila pemilik berhasrat memasangnya kelak. Inisiatif ini selaras Hala Tuju Kelestarian TNB dan pelan hala tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) S P Setia menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya.
Menurutnya, penggunaan solar PV atas bumbung membolehkan penjimatan penggunaan elektrik antara 20 hingga 50 peratus dengan jangka hayat mampu mencecah 25 tahun.
Source: Hmetro.com.my