News & Articles JD.com buka kedai mega pertama di Malaysia

JD.com buka kedai mega pertama di Malaysia


27 Apr 2022
JD.com buka kedai mega pertama di Malaysia
SERI KEMBANGAN: Beijing Wodong Tianjun Information Technology Co Ltd (JD.com), penyedia perkhidmatan e-dagang akan membuka kedai mega peralatan rumah pintar pertamanya di Malaysia tahun depan.

Kedai mega peralatan pintar itu juga akan menjadi yang pertama dibuka di luar China dengan kerjasama Country Heights Holdings Bhd (CHHB).

Pengarah Urusan CHHB, Datuk Jared Lim, berkata kerjasama itu akan membawa kepada pembangunan model perniagaan omnichannel atau berbilang saluran di Malaysia.

Beliau berkata, JDMines Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk mengurus dan mengendalikan inisiatif digital kumpulan itu.

JDMines, katanya, akan dimiliki oleh CHHB (70 peratus) dan Star Pulse Sdn Bhd (30 peratus), syarikat inkubator teknologi yang akan bekerjasama dengan CHHB dari segi pelaksanaan model perniagaan omnichannel.

"Melalui JDMines dan pelaksanaan model perniagaan berbilang saluran, kita akan menumpukan kepada e-dagang dan juga rangkaian kedai fizikal.

"JDMines akan membuka kedai fizikal mega yang mampu memuatkan sekitar 10,000 produk SKU terbaik dari China di Pusat Konvensyen & Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

"Ia dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2023 secara serentak dengan platform e-dagang JDMines yang bakal menyediakan lebih 50,000 produk," katanya selepas majlis pelancaran JDMines di sini, hari ini.

Turut hadir Pengasas CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew serta Naib Presiden JD.com dan Ketua Pegawai Strategi JD Worldwide, Wang Jing.

Mengulas lanjut, Lim berkata, pihaknya menyasarkan dapat membuka sehingga lima rangkaian kedai mega dan puluhan kedai biasa JDMines dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, JDMines akan meletakkan perbelanjaan modal sebanyak RM250 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, ia akan membolehkan pelbagai produk peralatan rumah pintar terbaik dari China dapat dipasarkan di pasaran tempatan sekaligus meningkatkan lagi kepentingan digital.

"Inisiatif ini menyumbang kepada pelan transformasi CHHB, di mana kami bekerjasama dengan salah satu syarikat e-dagang teknologi terkemuka di China.

"Ia bertujuan membawa produk teknologi termaju ke Malaysia dan memanfaatkan aset kami dalam meningkatkan pengalaman pengguna.

"Pada dasarnya, omnichannel ditakrifkan sebagai pendekatan jualan berbilang saluran yang menyediakan pengguna dengan pengalaman pelanggan bersepadu," katanya.

Sementara itu, Pengasas CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew pula berkata, kerjasama ini adalah gabungan teknologi dan platform komersial kerana kami percaya teknologi dan kecerdasan pintar (AI) akan menjadi bahagian penting dalam kehidupan di masa hadapan.

Beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dengan menyediakan penyelesaian rumah pintar untuk meningkatkan gaya hidup mereka.

Platform runcit inovatif ini katanya akan memperkenalkan beribu peralatan rumah dan perabot pintar terkini dari China kepada pengguna Malaysia.

"Dengan bantuan JD Worldwide dalam merancang dan membina platform dalam talian omnichannel, pengguna yang berminat boleh membuat pembelian terus atau melalui aplikasi mudah alih dan kedai atas talian.

"Model perniagaan pengguna menawarkan pengalaman e-dagang sepanjang tahun bersama dengan pemilihan produk yang ketat, akan membuka lembaran baharu dalam ekonomi digital pasca pandemik di Malaysia," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia