News & Articles Pelaburan baharu RM16.52B dari AS

Pelaburan baharu RM16.52B dari AS


23 May 2022
Pelaburan baharu RM16.52B dari AS
MALAYSIA berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari Amerika Syarikat (AS) melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.

Mohamed Azmin berharap bahawa semua komitmen projek pelaburan baharu yang terbabit dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

"Kita berharap pada suku ketiga tahun ini, semua komitmen ini akan dapat dimuktamadkan dan ia dapat mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan," kata beliau dalam sidang media mengenai Hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat di sini, kelmarin.

Antara projek pelaburan baharu adalah daripada syarikat Insulet, Ferrotec, Amazon Web Services Inc (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instruments dan Boston Scientific.

Misi perdagangan dan pelaburan selama 10 hari bermula 9-18 Mei itu memberi tumpuan kepada sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor peranti perubatan selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan membabitkan teknologi terkini.

Mohamed Azmin menambah syarikat yang terbabit turut menyatakan komitmen mereka dalam memastikan pemindahan teknologi serta mewujudkan ekosistem dan pembabitan industri tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam rantaian bekalan syarikat-syarikat berkenaan.

"Pelaburan mereka juga akan menjana peluang pekerjaan, peluang latihan kemahiran kepada pekerja tempatan, mewujudkan kerjasama dengan universiti tempatan serta pembangunan vendor tempatan," katanya.

Pada masa ini, AS menjadi rakan dagang global dan destinasi eksport yang ketiga terbesar bagi Malaysia dan menjadi sumber import yang keempat terbesar pada tahun 2021 sementara Malaysia pula adalah rakan dagang ke-17 terbesar Amerika Syarikat.

"Jumlah potensi eksport keseluruhan ke AS adalah sebanyak RM1.44 bilion," kata Mohamed Azmin.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia