News & Articles Malaysia tubuhkan pusat 4IR untuk memangkin pemulihan ekonomi

Malaysia tubuhkan pusat 4IR untuk memangkin pemulihan ekonomi


26 May 2022
Malaysia tubuhkan pusat 4IR untuk memangkin pemulihan ekonomi
Kuala Lumpur: Malaysia menubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF), untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021, serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Pusat tersebut, akan ditubuhkan secara rasmi dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua 2022, yang berfungsi untuk mempercepatkan penggunaan teknologi, kata Kementerian Kewangan (MOF).

"Ini seterusnya akan membantu menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MOF berkata penubuhan pusat itu, juga yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen kerajaan ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif.

"Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi," kata kementerian itu.

Penubuhan C4IR diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di luar Mesyuarat Tahunan WEF yang diadakan di Davos, Switzerland dari 23 – 26 Mei 2022.

Menteri itu berkata Malaysia sedang mempercepatkan transformasi digitalnya, dan keupayaan untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum akan menjadi salah satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.

"Sehubungan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi.

"Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin," tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan WEF Jeremy Jurgens berkata pihaknya mengalu-alukan Malaysia ke rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat akhir tahun ini.

"Sebagai pusat pertama di Asia Tenggara, C4IR Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui transformasi digital di rantau ini," katanya.

MOF berkata sebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi & Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi.

WEF juga akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR.

"Manfaat utama agenda 4IR Malaysia termasuk golongan belia (contohnya, melalui akses yang lebih baik kepada kaedah pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang dikuasakan oleh Edutech); perusahaan sosial (contohnya, menyelesaikan isu sosio-ekonomi, memudahkan penggunaan digital dan merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar); sektor perniagaan (contohnya, membangunkan kapasiti dikuasakan 4IR berasaskan industri dan sektor) dan sektor awam (contohnya, memanfaatkan data raya bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam)," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia