News & Articles Keuntungan MRCB meningkat lima kali ganda

Keuntungan MRCB meningkat lima kali ganda


1 Jun 2022
Keuntungan MRCB meningkat lima kali ganda
KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) merekodkan peningkatan lima kali ganda dalam keuntungan sebelum cukai RM31.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM5.7 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya bagi suku dikaji turut mencatatkan peningkatan tiga kali ganda kepada RM810.7 juta berbanding RM226.7 juta pada suku sama tahun lalu.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi yang bertambah baik itu adalah disebabkan konsolidasi penuh projek LRT3 dan sumbangan lebih tinggi daripada dua projek pembangunan hartanah terbesar kumpulan, Sentral Suites dan TRIA 9 Seputeh.

"Walaupun menghadapi cabaran berkaitan pandemik sejak dua tahun lalu, penggearan bersih kumpulan kekal kukuh pada 29 peratus, antara yang terendah dalam industri.

"Bahagian pembangunan hartanah & pelaburan merekodkan peningkatan 41 peratus dalam pendapatan kepada RM186.6 juta pada suku pertama 2022.

"Ini berikutan keadaan operasi yang lebih baik berbanding tempoh yang sama pada 2021, yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan tapak pembinaan yang menghalang kemajuan pembinaan," katanya.

Menurut kumpulan itu, bahagian itu mencatatkan peningkatan 61 peratus dalam keuntungan operasi kepada RM21.1 juta pada suku pertama 2022 daripada RM13.1 juta dalam tempoh yang sama 2021.

"Ini terutama daripada dua projek pembangunan hartanah terbesarnya, Sentral Suites dan TRIA 9 Seputeh, mencapai kemajuan pembinaan yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 68 peratus dan 69 peratus.

"Bahagian berkenaan menjual hartanah bernilai RM22.9 juta pada suku pertama 2022 dan mempunyai jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM818.3 juta," katanya.

Sementara itu, MRCB berkata bahagian kejuruteraan, pembinaan & alam Sekitar mencatatkan peningkatan tujuh kali ganda dalam pendapatan kepada RM612.5 juta.

"Ini terutama disebabkan oleh konsolidasi penuh projek LRT3 bernilai RM11.4 bilion, yang mencapai kemajuan pembinaan fizikal sebanyak 71 peratus dan kemajuan kewangan sebanyak 63 peratus.

"Pendapatannya juga disumbangkan daripada pembinaan Ibu Pejabat KWSP di Kwasa Damansara, Pakej Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam CB2, Pakej Transit Aliran Massa 2 V210, Pakej Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang CA2 dan Projek PR1MA Brickfields.

"Bahagian ini mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM25.7 juta pada suku pertama 2022 berbanding kerugian operasi sebanyak RM1.6 juta dalam tempoh yang sama pada 2021," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia