News & Articles Skyline Luge Activity Park bakal dibuka di Gamuda Gardens

Skyline Luge Activity Park bakal dibuka di Gamuda Gardens


3 Jun 2022
Skyline Luge Activity Park bakal dibuka di Gamuda Gardens
RAWANG: Pemaju hartanah, Gamuda Land bekerjasama dengan Skyline Enterprise, syarikat pengendali hiburan dan santai dari New Zealand, untuk membuka Skyline Luge Activity Park yang pertama di Malaysia.

Taman aktiviti yang bakal dibangunkan di Bandar Gamuda Gardens itu membabitkan pelaburan sebanyak NZ$26 juta (RM74. 4 juta) dan akan dibuka kepada orang awam pada suku ketiga tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata Luge Activity Centre itu akan ditempatkan dalam Gamuda Garden City Centre yang terletak bersebelahan dengan lebuh raya Utara Selatan (Plus) dan koridor Guthrie.

Katanya, kawasan itu akan difokuskan lebih kepada ruang runcit dan hiburan yang merangkumi pejabat, pusat beli belah dan taman hiburan.

"Kehadiran Luge ini amat penting kerana ia berasaskan komuniti yang akan memberi ruang buat pengunjung untuk meluangkan masa dengan keluarga di sini. "Kami memilih Luge kerana keadaan rupa bumi di kawasan sini yang berlereng adalah sesuai dengan pembangunan taman aktiviti ini.

"Kami ingin meminimumkan kerja pemotongan lereng bukit ini bagi menjaga kemampanan alam sekitar dan kerana itu Luge amat sesuai untuk dibina di sini kerana ia memang memerlukan keadaan rupa bumi yang berlereng," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembinaan Skyline Luge Activity Park di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gamuda Land, Ngan Chee Meng; Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Pam Dunn; Timbalan CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dan CEO Skyline Enterprises, Geoff McDonald.

Dibina di atas tapak seluas 322,917 kaki persegi, Luge Activity Park adalah taman keempat Skyline Enterprises di Asia selepas di Singapura serta Busan dan Tong Yeong di Korea Selatan.

Mengulas lanjut Wai Lune berkata, pihaknya menyasarkan seramai 350,000 pengunjung akan ke taman aktiviti itu dalam tempoh setahun ia dibuka.

Sementara itu Mcdonald berkata, pihaknya komited untuk mengembangkan operasi global mereka dan teruja untuk membawa pengalaman santai yang penuh keseronokan ke Malaysia dan ke Gamuda Gardens.

"Gamuda Land membawa semangat yang sejajar dengan Skyline Enterprises dalam mewujudkan masa depan yang mampan untuk rakyat dan planet ini.

"Taman aktiviti di Taman Gamuda ini akan membawa pengalaman yang berbeza dan mengujakan untuk pelawat kami.

"Ia direka bentuk mengikut rupa bumi kawasan ini dan akan memberikan pengalaman menarik dari puncak bukit bertingkat 40 meter," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia