News & Articles MSM perkukuh komitmen pelihara alam sekitar

MSM perkukuh komitmen pelihara alam sekitar


7 Jun 2022
MSM perkukuh komitmen pelihara alam sekitar
SEBERANG PERAI: MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) memperkukuhkan komitmen terhadap inisiatif hijau dalam memelihara dan memulihara alam sekitar dengan menanam 200 pokok bakau di di Pusat Pendidikan Kecil Hutan Paya Laut yang terletak di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Program penanaman pokok bakau dengan kerjasama strategik anak syarikat milik penuhnya, MSM Prai Bhd (MSM Prai) dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dan Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) adalah usaha berterusan daripada acara tahun lalu, yang menyaksikan 700 anak pokok bakau telah ditanam di pesisir kilang MSM Prai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, berkata MSM Prai bersedia untuk menanam 1,000 pokok bakau secara berperingkat di kawasan khusus untuk penanaman pokok dan bakau di Pulau Pinang pada tahun ini.

Katanya, penanaman pokok bakau ialah pendekatan mesra alam berkesan dengan faedah dari segi pemuliharaan ekosistem yang luas termasuk melindungi kualiti air, menstabilkan tebing sungai, memupuk habitat ikan dan penyumbang kepada mitigasi perubahan iklim.

"MSM kekal teguh dalam usaha untuk memastikan program kemampanan dan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami mencapai matlamatnya dan hasil terbaik dalam jangka masa panjang.

"MSM benar-benar komited untuk memenuhi komitmen ESG dan melangkah lebih jauh dengan melantik juara ESG dalam kalangan warga MSM untuk memacu dan menyokong usaha ESG kumpulan.

"Ini adalah bukti bahawa setiap individu di MSM memainkan peranan aktif dalam mengimbangi keperluan antara operasi perniagaan dan memelihara alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

Selain menanam pokok bakau, MSM Prai turut menyumbang dana kepada Pusat Pendidikan Hutan Bakau untuk kerja-kerja pembaikan gerbang pintu masuk dan titi laluan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah JAS Pulau Pinang, Azman Shah bin Ismail; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad; Ketua Operasi MSM Prai, Cheah Poh Lye; Presiden PIFWA, Ilias Shafie; pengurusan kanan kumpulan serta pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Bertam, Pulau Pinang.

MSM merancang untuk mencapai sifar bersih beberapa tahun lebih awal daripada garis masa yang ditetapkan iaitu pada 2050 melalui sasaran berasaskan sains seperti tenaga boleh diperbaharui seperti menggunakan solar dan kitar semula karbon dioksida yang dikeluarkan semula ke dalam proses pembuatan.

Ia dengan mengambil kira penggantian bahan api fosil untuk kenderaan pengangkutan yang akhirnya akan membuat impak yang ketara dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk kumpulan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia