Uptown Square, bintang baharu Rimbayu
MEMILIKI sebuah kediaman bukan satu perkara mudah. Banyak aspek perlu diteliti pembeli terutama pembangunan di kawasan sekitar perumahan.
Antara faktor perlu diambil kira termasuk akses ke jalan dan lebuh raya utama, hospital, sekolah serta pusat komersial.
Dengan jangkaan 100,000 penduduk di Bandar Rimbayu dalam tempoh lima tahun akan datang, Uptown Square pastinya bakal menjadi pusat komersial yang sempurna untuk pelaburan.
Sinonim dengan konsep pembangunan IJM Land yang lain, Uptown Square menekankan dinamisme yang terdiri daripada halaman pelbagai guna dan taman oasis.
Menawarkan penduduk pelbagai pilihan kegunaan ruang awam, halaman dan taman oasis ini boleh berfungsi sebagai kemudahan sukan, pasar lambak, pasar malam serta tapak untuk menyambut perayaan.
Bandar Rimbayu: Perbandaran yang berkembang pesat
Terletak di Bandar Rimbayu Kota Kemuning, Uptown Square dibina di tapak utama berkeluasan 17.5 hektar yang terdiri daripada dua fasa. Menjadi sebahagian daripada Hab Perniagaan Rimbayu, Uptown Square dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM308 juta ini menawarkan keseluruhan 119 unit dengan saiz dari 3,300 hingga 7,539 meter persegi.
Pelan unit yang ditawarkan itu dibahagikan kepada dua dan tiga tingkat dengan setiap unit tampil menerusi susun atur yang praktikal.
Lebih menarik, pembangunan baharu ini memiliki beberapa pintu masuk dan keluar unik yang diatur secara bersesuaian dengan tempat letak kereta.
Susun atur komersialnya terutama unit dengan beranda pula menawarkan kawasan yang lebih luas untuk persediaan perniagaan yang lebih baik.
Reka bentuk yang menghadap jalan besar dengan enam pintu masuk dan pintu keluar akan menjimatkan masa perjalanan serta memudahkan pencarian parkir.
Uptown Square turut menekankan kehidupan lestari dengan menggabungkan unsur-unsur hijau yang menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Justeru, pemilik perniagaan boleh mengurangkan jejak karbon dan menikmati manfaat bil elektrik yang lebih rendah dengan pemasangan solar sistem fotovoltaik sekali gus menaikkan nilai kawasan itu.
Uptown Square menawarkan potensi pusat komersial dan hab gaya hidup yang menarik
Dengan GDV bernilai RM11 bilion, Bandar Rimbayu yang meraih anugerah berkeluasan 1879 hektar ini berkembang secara berperingkat menjadi sebuah perbandaran pesat. Ia menjadi lokasi yang sangat diidamkan di barat daya Lembah Klang.
Sejak pembukaan pada 2013, Bandar Rimbayu melalui pelbagai perubahan bagi menjadi sebuah perbandaran matang, bertenaga serta komprehensif yang mendorong pertumbuhan komersial dalam pelbagai aspek.
Menerusi usaha IJM Land, Bandar Rimbayu kini menjadi pusat kepada Sekolah Antarabangsa Oasis, The Arc dan The Club, yang menawarkan pelbagai kemudahan terbaik.
Bandar Rimbayu yang berhampiran dengan pusat komersial serta kediaman di Shah Alam dan Kota Kemuning telah mengubah daerah ini menjadi kawasan tumpuan.
Perbandaran ini juga menawarkan pelbagai pilihan kemudahan gaya hidup termasuk premis pandu lalu Starbucks, Mcdonald's dan Kenny Rogers.
Di samping itu, penduduk dan pengunjung juga dapat menikmati aktiviti harian seperti membeli-belah barangan runcit di Jaya Grocer atau singgah ke kedai seperti Mr DIY atau Harvey Norman di Quayside Mall untuk memenuhi gaya hidup mereka.
"Pelabur dan pemilik perniagaan tidak hanya memiliki premis perniagaan semata-mata, tetapi keseluruhan ekosistem perniagaan yang dapat memacu kemajuan dan kejayaan mereka," kata Encik Chai Kian Soon, Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu.
Berikutan pembelian tanah berkeluasan dua hektar bersebelahan dengan perbandaran bagi tujuan pembangunan menara pejabat korporat, sektor komersial Bandar Rimbayu bakal membawakan kemajuan teguh, populasi yang semakin berkembang dan peningkatan kuasa beli sebagai pemacu yang akan menonjolkan potensi sebenar bandar itu.
Dengan Uptown Square yang akan dibangunkan tidak lama lagi, Bandar Rimbayu kini berada pada landasan tepat untuk merealisasikan impiannya menjadi perbandaran perdagangan yang mampu berdiri teguh.
Selain lokasi strategik yang berdekatan dengan pusat komersial serta kediaman di Shah Alam dan Kota Kemuning, Bandar Rimbayu juga adalah kawasan tumpuan pengunjung dari dalam dan luar kawasan sekitar.
Bandar Rimbayu turut menyediakan akses mudah ke empat lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), yang bakal siap pada 2024.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai projek IJM Land, Uptown Square Rimbayu, layari laman web Uptown@Rimbayu.
Source: Bharian.com.my