News & Articles Dynaciate Group beli tanah perindustrian di Bentong, RM12 juta

Dynaciate Group beli tanah perindustrian di Bentong, RM12 juta


15 Jun 2022
Dynaciate Group beli tanah perindustrian di Bentong, RM12 juta
KUALA LUMPUR: Dynaciate Group Bhd (Dynaciate) melalui anak syarikat milik penuhnya, Magnitude Resources Sdn Bhd bakal mengambilalih tanah perindustrian pegangan bebas dengan bangunan bernilai RM12 juta di Bentong, Pahang.

Pengarah Eksekutif Dynaciate, Melvin Lim, berkata cadangan pengambilalihan itu bakal dilaksanakan selepas memeterai perjanjian jual beli dengan Powernet Industries Sdn Bhd (PISB).

Beliau berkata, langkah kumpulan itu adalah sebahagian daripada strategi berterusannya untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan tanah dan bangunan perindustrian yang berpotensi.

Katanya, setelah melihat peningkatan permintaan dan pertumbuhan dalam pasaran hartanah industri di Malaysia, kumpulan yakin cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapannya.

Ini katanya berdasarkan lokasi yang strategik bagi hartanah itu serta peruntukan untuk peningkatan nilai hartanah pada masa hadapan di sekitar kawasan tersebut.

"Kami ketika ini sedang giat mengembangkan portfolio hartanah, memanfaatkan sumber pembinaan khususnya dalam sektor tanah dan bangunan perindustrian untuk meningkatkan nilai pelaburan hartanah.

"Melangkah ke hadapan, strategi portfolio muktamad kami adalah untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan peningkatan modal yang sentiasa berkembang dan potensi pendapatan sewa dalam pasaran perindustrian tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, cadangan pengambilalihan terbaru yang akan dibiayai melalui peminjaman, dijangka selesai pada suku kedua 2022.

Dynaciate pada 7 Jun lalu katanya telah mencadangkan untuk melupuskan salah satu tanah pegangan bebasnya dengan bangunan yang didirikan terletak di Pulau Pinang pada harga RM80 juta.

Nilai pasaran hartanah itu katanya telah menyaksikan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun lalu dan dengan mengewangkan pelaburannya dalam hartanah subjek, kumpulan mampu merealisasikan keuntungan bersih sekitar RM19.8 juta.

"Pemerolehan daripada pelupusan itu akan digunakan sebahagian besarnya untuk perniagaan hartanah iaitu pembinaan, pembangunan dan pelaburan hartanah perindustrian ke arah peningkatan modal dan potensi keuntungan hasil daripada pelbagai pelaburan hartanah," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia