News & Articles Prospek perniagaan Mah Sing meyakinkan

Prospek perniagaan Mah Sing meyakinkan


29 Jun 2022
Prospek perniagaan Mah Sing meyakinkan
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan mengekalkan penarafan positif terhadap Mah Sing Group Bhd susulan pengumuman kumpulan itu yang bercadang membeli 2.8 hektar tanah pegangan bebas di Johor bagi projek pembangunan hartanah bercampur, M Minori.

Kenanga Research dalam nota penyelidikan berkata, ia mengekalkan anggaran perolehan tahun kewangan 2022 dan 2023 bagi Mah Sing, disokong oleh sasaran jualan yang tidak berubah sebanyak RM1.7 bilion.

"Kami mengekalkan saranan 'pasaran berprestasi' dengan harga sasaran tidak berubah 60 sen sesaham diraih daripada 65 peratus diskaun kepada nilai aset bersih boleh direalisasi (RNAV)," katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata cadangan berkenaan dijangka memberikan impak kecil kepada lembaran imbangan kerana Mah Sing mempunyai tunai berjumlah RM1 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2022.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas Mah Sing, dengan harga sasaran tidak berubah 74 sen kerana positif dengan tinjauan perolehannya yang dijangka akan dipacu oleh bahagian pembangunan hartanah.

"Selain itu, tinjauan jualan hartanah baharu turut disokong oleh strategi pemulihan pantas," kata firma penyelidikan itu.

Satu lagi firma penyelidikan, AmInvestment Bank menyokong sentimen sama, dengan berkata bahawa pembelian itu akan mengekalkan perolehan hartanah syarikat dalam jangka masa sederhana.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas Mah Sing berdasarkan nilai wajar 87 sen sesaham berbanding 85 sen sebelumnya, yang sejajar dengan penarafan neutral tiga bintang alam sekitar, sosial dan tadbir urus," katanya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia