NCT Alliance jangka pasaran hartanah kembali pulih
KUALA LUMPUR: NCT Alliance Bhd menjangka pasaran hartanah akan pulih kembali pada separuh tahun kedua 2022, sejajar dengan pemulihan ekonomi negara secara progresif dan menyeluruh, ditambah dengan kembalinya semula aktiviti-aktivi ekonomi.
Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata tambahan lagi, pihaknya menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur dalam pasaran pekerjaan dan taraf pendapatan serta sokongan dasar yang berterusan dan peningkatan permintaan luar juga akan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan positif tahun ini.
Katanya, asas yang kuat dan kepakaran yang terbukti sebagai pemulih projek mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu untuk menawarkan produk yang kompetitif dalam segmen ini.
"Kami kekal tertumpu pada penciptaan kesinambungan dan keuntungan dalam memulihkan projek terbengkalai, dengan matlamat menyokong hartanah milikan tempatan.
"Dengan itu, NCT Alliance bersedia membantu pemaju hartanah yang lain membaikpulih projek-projek mereka yang telah menanggung beban dari pandemik. Ini sebahagian dari komitmen kami sebagai pakar khusus dalam memulih semula projek-projek terbengkalai," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, syarikat telah memetakan beberapa rancangan strategik untuk NCT Alliance tahun ini sejajar dengan pemulihan ekonomi negara.
Katanya, pada masa ini mereka sudahpun mempunyai projek-projek yang sedang giat dibangunkan seperti Grand Ion Majestic, Acacia Residences dan Genting Valley Project di Batang Kali, Selangor.
"Selain projek-projek yang sedang dibangunkan, kami sentiasa mencari peluang yang ada dan berusaha untuk memperoleh bidang tanah baru yang bukan sahaja strategik tetapi juga sesuai untuk peluasan simpanan tanah kami.
"Kami yakin bahawa rancangan strategik ini akan menyokong pertumbuhan pendapatan yang telah direkodkan dan juga menambahbaik prestasi kami untuk suku-suku tahun seterusnya," katanya.
Ngan Choy berkata, selain menjadi pemaju hartanah yang serba lengkap, berbekalkan pengalaman lebih 35 tahun membangunkan hartanah kediaman, komersial, industri, dan pelancongan di Malaysia, NCT juga mempunyai rekod prestasi terbukti sebagai 'white knight', iaitu penyelamat dan pembaikpulih projek perumahan dan pembangunan yang terbengkalai.
"Ini yang membezakan kami dalam pasaran hartanah. Bukan semua pemaju mampu mengambil alih projek terbengkalai jika mengambil kira segala kesulitan, dan yang penting sekali, kos yang terbabit.
"Pemansuhan Enterprise Data Collection and Collation System (EDCCS) dari Grand-Flo membolehkan NCT Alliance memberi tumpuan sepenuhnya pada pembangunan hartanah.
"Ia adalah keputusan strategik untuk membolehkan kami berkembang pada kadar yang lebih pesat. Kami percaya terdapat banyak peluang dalam bidang terkhusus ini. Terdapat banyak projek pembangunan komersial dan industri terbengkalai yang boleh ditinjau untuk mengembangkan lagi kepakaran kami dalam jenis-jenis hartanah yang berbeza dan ini adalah sebahagian dari rancangan strategik kami," katanya.
Source: Bharian.com.my