OSK Property lancar LEA di Taman Melawati
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, OSK Property melancarkan projek hartanah sulungnya di Taman Melawati di sini, LEA by the Hills, yang menawarkan pembangunan pegangan pajak berdensiti rendah terdiri daripada 344 unit.
Bukan itu sahaja, hartanah ini juga menawarkan pemandangan Permatang Kuarza Klang Gates yang menakjubkan dengan jarak pemanduan yang singkat dari pusat bandar Kuala Lumpur.
Dibina di atas tapak seluas 1.17 hektar, LEA by the Hills mempunyai 344 unit kondominium setinggi 29 tingkat.
Dikelilingi oleh kehijauan yang subur, LEA by the Hills terletak di kawasan yang aman dan tenang di dalam Taman Melawati. Sebagai sebuah pembangunan kediaman tanpa unsur komersial, privasi dan keselamatan penduduk terjamin, apatah lagi suasana tenang yang mereka akan pulang selepas hari yang panjang, tanpa kesesakan lalu lintas dan orang ramai.
Dengan hanya 12 unit setiap tingkat, kondominium itu didatangkan dalam dua jenis susun atur dengan ruang tamu yang luas. Saiz binaan bermula daripada 1,050 kaki persegi (kps) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi serta bilik utiliti sehingga kepada 243 kps (4 bilik tidur dan 2 bilik mandi dengan balkoni).
Selain itu, terdapat enam unit eksklusif terhad yang dilengkapi dengan teres peribadi yang direka khas. Berharga dari RM560,000 seunit, projek ini menawarkan tawaran menarik untuk pencari rumah yang mencari rumah yang selesa dan direka dengan baik dalam kawasan kejiranan yang matang.
Sistem keselamatan berbilang peringkat projek memastikan akses selamat dan mudah 24/7, satu ciri yang akan dihargai oleh keluarga yang mempunyai anak kecil, profesional bandar dan mereka yang mempunyai gaya hidup sibuk.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin, berkata LEA by the Hills adalah sesuai untuk pembeli rumah kali pertama, profesional muda, pembeli yang ingin menaik taraf serta yang mencari kediaman lebih kecil yang menawarkan ruang yang selesa.
"Ini adalah projek yang menawarkan rasa eksklusif dan privasi, kerana kawasan kejiranan Taman Melawati kebanyakannya terdiri daripada rumah bertanah kelas atas dan dianggap sebagai lokasi premium.
"Menjadi penghormatan buat kami untuk menawarkan pembeli dengan rumah yang berorientasikan alam semula jadi dan memberi tumpuan kepada nilai, namun masih hadir dengan eksklusiviti dan keselesaan yang didambakan oleh masyarakat bandar.
"Tarikan utama LEA by the Hills ialah persekitarannya, kerana seseorang itu dapat tinggal berhampiran dengan kehijauan yang luas dengan pemandangan alam semula jadi yang indah," katanya dalam kenyataan.
LEA by the Hills dilengkapi dengan 27 kemudahan yang direka dengan teliti yang terletak di aras satu pembangunan. Kemudahan penduduk yang sesuai untuk pengguna semua peringkat umur diletakkan merentasi tiga zon iaitu Zon Dinamik, Zon Akuatik dan Zon Riadah.
Keluarga, terutamanya yang mempunyai anak, akan menikmati kolam infiniti sepanjang 30 meter, taman buaian, taman permainan pelbagai generasi, astaka makan, kabana terapung dan dek hutan mini.
Dari segi kesalinghubungan, penduduk juga menikmati akses mudah ke kemudahan penting dalam kawasan kejiranan. Ini termasuk pusat membeli-belah seperti Melawati Mall, KL East Mall dan Wangsa Walk Mall, yang terletak hanya dalam jarak pemanduan yang singkat, serta sambungan terus ke pusat bandar melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR II), Lebuhraya Duta–Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) dan Lebuhraya Genting Klang-Pahang.
Institusi pendidikan juga banyak dengan pilihan sekolah dan kolej swasta dan awam, seperti SK Taman Melawati, SK Taman Melawati 2, SMK Taman Melawati, Institut Seni Malaysia (MIA), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Sekolah Antarabangsa Fairview. Akhir sekali, pembangunan itu berdekatan dengan hospital terdekat, seperti Hospital Columbia Asia, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Source: Bharian.com.my