News & Articles Karnival Jom Beli Rumah 2022 tawar pelbagai jenis kediaman

Karnival Jom Beli Rumah 2022 tawar pelbagai jenis kediaman


19 Jul 2022
Karnival Jom Beli Rumah 2022 tawar pelbagai jenis kediaman
KUALA LUMPUR: Pelbagai pilihan kediaman untuk keluarga mahupun orang bujang di bandar antara tawaran istimewa dibawakan pada Karnival Jom Beli Rumah 2022 yang berlangsung hingga esok di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC), di sini.

Apartmen antara pilihan rumah mampu milik sesuai dimiliki di kawasan Lembah Klang, sementara unit teres dan banglo untuk mereka yang mencari kediaman ketiga atau mahu menjual rumah diduduki sekarang.

Bagi pelajar universiti swasta di Selangor, S Ruopenesh, 24, dia mencari kediaman jenis apartmen untuk didudukinya selepas berumah tangga dan mendapat pekerjaan stabil.

Penuntut jurusan teknologi maklumat itu mencari kediaman yang sesuai untuk golongan keluarga B40.

"Saya datang mencari rumah sekitar Ampang namun kebanyakan rumah di kawasan ini di luar kemampuan dan membuatkan kami mencari kediaman lain sekitar Alam Damai dan Kajang.

"Saya mendapat tajaan biasiswa untuk pengajian dan ketika ini ada membuat kerja sampingan. Semuanya adalah usaha bagi mengumpul deposit untuk pembelian rumah pertama," katanya yang menetap di Ampang.

Karnival Jom Beli Rumah 2022 itu menawarkan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap karnival itu memenuhi keperluan golongan muda terutama B40 dan M40 dengan menampilkan hartanah mampu milik kepada mereka.

Karnival anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu disertai lebih 40 pempamer, yang menggabungkan semua pihak daripada kerajaan termasuk pelbagai agensi dan pemaju swasta, berlangsung selama tiga hari bagi memberi peluang kepada orang ramai mencari hartanah.

Karnival itu yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 9 malam antaranya mendapat kerjasama strategik Media Prima Omnia (Omnia), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) serta MyRumah.

Sementara itu, Eksekutif Jualan, Safudin Yusoff, 41, dari Salak Tinggi, Selangor meninjau tawaran projek perumahan baharu sekitar tempat tinggalnya.

"Walaupun di sini terdapat banyak pilihan rumah namun lokasinya lebih tertumpu Shah Alam dan kami mungkin menunggu perumahan yang lain kerana ini adalah untuk rumah kedua," katanya.

Bagi ahli perniagaan, Muhamad Fahri Mohd Wadzir 30, dia dan isterinya, Wan Fatimah Zahra Mahdi, 27, mencari kediaman pertama sekitar Cyberjaya atau Putrajaya.

"Pencarian rumah pertama sudah lebih setahun dan ia memang sukar untuk jumpa rumah sesuai terutama menepati lokasi yang dikehendaki kami," katanya.

Bagi perunding hartanah First Global Properties Sdn Bhd, Patricia Wong, syarikatnya menawarkan apartmen Prestige Residence yang mempunyai dua blok kediaman dengan 1,400 unit.

"Harga apartmen ini adalah mampu milik untuk lokasi strategik Puncak Jalil iaitu antara harga RM243,000 hingga RM410,000 untuk kediaman berkeluasan 600 meter persegi hingga 850 meter persegi.

"Lebih istimewa ada unit untuk pemilik orang kurang upaya (OKU) serta pembeli layak memenangi cabutan bertuah bernilai hingga RM1.5 juta termasuk hadiah kereta," katanya.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran Setia Alamasari Sdn Bhd, Muhd Nazirul Hakimi Muhd Jais, berkata syarikat menawarkan 41 unit banglo dan rumah semi D berharga RM1.6 juta hingga RM3 juta yang bakal siap dua tahun lagi.

"Kediaman jenis ini tertumpu untuk mereka yang mahu membeli rumah ketiga atau berhasrat menjual rumah yang diduduki sekarang untuk tempat tinggal lebih selesa. Projek ini berdekatan universiti awam di Bangi," katanya.

Sementara itu, berdasarkan rekod KPKT sehingga Mac lalu, sebanyak 18,044 unit rumah siap dibina, 43,162 rumah dalam pembinaan dan 29,874 unit dalam perancangan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia