LBS rancang projek RM9 bilion di Genting Highlands
PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS), melalui anak syarikatnya, Casa Inspirasi Sdn Bhd bercadang untuk membangunkan projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM9 bilion di Genting Highlands.
Pemaju hartanah itu menerusi Casa Inspirasi telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSKP) untuk memperoleh tanah pajakan seluas lebih 120 hektar pada harga RM97.845 juta.
Tanah berkenaan terletak strategik di kawasan tarikan pelancongan terkenal seperti Genting Highlands, Genting Premium Outlet, Awana Genting Golf Course dan Gohtong Jaya.
Pembangunan yang bakal dibina itu terdiri daripada pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo dan institusi pendidikan serta kemudahan awam seperti sekolah dan hospital yang berdekatan.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San dalam satu kenyataan berkata, usaha korporat itu memberikan LBS peluang yang sangat baik untuk meluaskan kepakaran pembangunan hartanah dan pembinaan, sekali gus mengukuhkan segmen pembangunan kediaman.
Beliau berkata, projek pembangunan di Genting Highlands menandakan usaha pihaknya untuk terus mencapai wawasan syarikat dan mengembangkan aktiviti perniagaannya.
Katanya, menerusi lokasi yang strategik dan tarikan pelancong dengan trafik pengunjung yang tinggi, LBS optimis dengan potensi masa depan pembangunan Genting Highlands.
"Kami akan terus berusaha untuk mencari peluang pembangunan baharu dan bersiap sedia untuk merebut setiap peluang yang tersedia jika ada yang bersesuaian.
"Kami percaya tanah ini terletak di lokasi yang strategik dan mampu menjamin pembangunan yang mampan, sekali gus menawarkan kemudahan kepada komuniti setempat.
"Kami akan terus berpegang teguh kepada tiga tunggak utama LBS 'Mampu milik', 'Kesalinghubungan' dan 'Komuniti' dalam setiap perkara yang kami lakukan," katanya.
Antara produk LBS lain yang terletak di Genting Highlands adalah projek pangsapuri servis Midhills yang dilancarkan pada 2014, yang mana pangsapuri itu dilengkapi dengan kemudahan bersesuaian dengan gaya hidup alaf baru, berlatarbelakangkan kehijauan alam semula jadi Genting Highlands.
Projek itu meliputi tiga blok bangunan dengan 610 unit telah dijual sepenuhnya.
Di samping projek pembangunan perumahan di Genting, LBS turut melancarkan hotel iaitu hotel SCAPES.
Hotel 10 tingkat baharu itu terdiri daripada 176 bilik, dewan serba guna, gim, kolam renang, restoran, jakuzi dan kemudahan lain.
Dengan pelancarannya pada Februari 2021, hotel SCAPES menerima permintaan yang luar biasa daripada pelancong di dalam dan luar negara, kerana lokasi dan tarikan flora dan fauna yang ada disekelilingnya.
LBS telah membina dan membentuk landskap negara selama 30 tahun dan terus memenuhi permintaan pasaran bagi rumah berkualiti dan mampu milik.
Kini, dengan bank tanah di seluruh Malaysia, LBS terus meraih kejayaan dan kekal kukuh dengan kejayaan perbandaran seperti Bandar Saujana Putra, KITA @ Cybersouth di Dengkil, LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam dan lain-lain lagi.
Selain pembangunan hartanah, LBS turut terbabit di dalam pengurusan runcit, perhotelan dan pelancongan.
Source: Bharian.com.my