News & Articles The Curve sasar terima sejuta pengunjung

The Curve sasar terima sejuta pengunjung


26 Jul 2022
The Curve sasar terima sejuta pengunjung
Kuala Lumpur: Boustead Properties Bhd yang memiliki gedung beli-belah The Curve di Petaling Jaya, Selangor kini dalam proses meningkatkan kepelbagaian penyewa di premis berkenaan bagi menarik lebih ramai pengunjung, khususnya yang menetap di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Azizi Ismail berkata, gedung berkenaan juga menyasarkan purata kehadiran bulanan mencecah hampir sejuta pengunjung menjelang akhir tahun berbanding paras prapandemik seramai 860,000 pada 2019.

Angka purata itu menjadi ukuran utama bagi melihat keberkesanan premis runcit dalam menarik kehadiran pengunjung secara berkesan.

"Pada masa ini, The Curve mempunyai lebih daripada 220 penyewa, termasuk 22 penyewa baharu yang memeterai perjanjian pada separuh pertama tahun ini. Malah, kami turut menyasarkan menarik 10 lagi penyewa baharu menjelang akhir tahun ini.

"Sehubungan itu, kadar penghunian ini sepatutnya 93 peratus menjelang akhir 2022 yang menggambarkan perkembangan baik untuk syarikat dengan terus berdaya tahan dan membawa masuk nilai serta pengalaman unik untuk pelanggan," katanya.

Khairul Azizi berkata, ketika tempoh pandemik, aktiviti beli-belah secara dalam talian menjadi kelaziman berikutan penutupan premis serta sekatan pergerakan dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, Boustead Properties optimis purata kadar pengunjung bulanan meningkat susulan pembukaan semula ekonomi serta peralihan negara kepada fasa endemik.

"Usaha beli-belah dalam talian terbukti tidak memberi impak besar ke atas aktiviti pembelian secara fizikal di The Curve. Ia turut menjadi lokasi hebat untuk berkumpul dan saling berhubung dengan keluarga dan sahabat," katanya.

Syarikat itu juga yakin prospek bagi industri runcit adalah cerah kerana melalui tempoh sukar serta menjangkakan dapat mengakhiri 2022 secara positif.

Memandangkan negara masih menangani Covid-19, pusat beli-belah The Curve menyedari aspek cabaran bagi industri runcit yang merangkumi kenaikan kos selain pendapatan pelanggan yang terjejas dan memberi kesan terhadap perbelanjaan dan kuasa membeli mereka tahun ini.

"Walaupun mencabar, kami fokus kepada usaha menambah nilai serta mengekalkan hubungan jangka panjang yang baik dengan penyewa, termasuk menghulurkan bantuan kepada mereka sewaktu tempoh sukar," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia