News & Articles LKAN kenal pasti kelemahan pengurusan projek pembangunan hartanah kediaman PKNS

LKAN kenal pasti kelemahan pengurusan projek pembangunan hartanah kediaman PKNS


27 Jul 2022
LKAN kenal pasti kelemahan pengurusan projek pembangunan hartanah kediaman PKNS
SHAH ALAM: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Aktiviti Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2020 Siri 1 mendapati beberapa kelemahan dikenal pasti dalam pengurusan projek pembangunan hartanah kediaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata antara kelemahan itu ialah prestasi pembangunan hartanah kediaman melalui pelantikan kontraktor kurang memuaskan kerana projek lewat disiapkan berbanding jadual asal.

"Pencapaian dan pengukuhan aliran tunai bagi penjualan hartanah kediaman juga tidak mencapai sasaran kerana hasil diterima rendah berbanding kos projek yang dibayar," katanya dalam kenyataan. Laporan itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Nik Azman berkata beberapa kelemahan turut dikenal pasti dalam aspek pengurusan yang melibatkan kelewatan kelulusan lanjutan masa (EOT); Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) lewat/tidak dikeluarkan; kerja tidak berkualiti, tidak sempurna dan tidak mematuhi spesifikasi; serta pengurusan aduan yang kurang cekap.

"Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan bahawa PKNS telah memenuhi peranannya sebagai agensi utama dalam pembangunan hartanah, khususnya menyediakan kediaman kepada rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan kelemahan tidak berulang, pihak Audit mengesyorkan beberapa perkara seperti meningkatkan pemantauan terhadap kontraktor, perunding dan syarikat penswastaan supaya pelaksanaan kerja dibuat dengan teratur mengikut jadual.

Nik Azman berkata pengauditan prestasi terhadap KDEB Waste Management (KDEBWM) Sdn Bhd. pula mendapati pemantauan terhadap perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan oleh subkontraktor KDEBWM adalah kurang memuaskan.

"Adalah disyorkan pihak KDEBWM mengambil perhatian perkara seperti mewujudkan mekanisme pemantauan secara menyeluruh agar perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, bagi pengurusan cukai taksiran di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Nik Azman berkata secara keseluruhannya, objektif tiga pihak berkuasa tempatan itu dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada penduduk telah dicapai.

"Namun aktiviti penilaian dan penguatkuasaan terhadap kutipan cukai taksiran perlu dipertingkatkan agar tunggakan cukai dapat dikurangkan dari semasa ke semasa," katanya.

Nik Azman berkata LKAN tersebut telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 Mac 2022 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dibentangkan di DUN Selangor hari ini setelah diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

LKAN boleh diakses oleh orang awam menerusi laman web http://www.audit.gov.my.

-- BERNAMA

Source: Astroawani.com

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia