News & Articles Persimpangan bertingkat manfaatkan penduduk Bandar Bukit Raja

Persimpangan bertingkat manfaatkan penduduk Bandar Bukit Raja


15 Aug 2022
Persimpangan bertingkat manfaatkan penduduk Bandar Bukit Raja
KLANG: Sime Darby Property Bhd hari ini merasmikan pembukaan persimpangan bertingkat di Bandar Bukit Raja yang akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya di Jalan Meru.

Persimpangan bertingkat sepanjang 420 meter itu jalan khusus untuk memastikan aliran trafik yang lebih lancar ke arah Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Ia akan menghubungkan pengguna jalan raya dari Persiaran Sungai Keramat, Persiaran Astana dan Bandar Setia Alam, selain memberi manfaat kepada penduduk Bandar Bukit Raja, Meru serta Kapar di Klang.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata pembangunan persimpangan bertingkat itu adalah selaras dengan usaha syarikat untuk menyediakan kemudahan kepada penduduk dan pengguna jalan raya di salah satu perbandarannya di Selangor.

"Bandar Bukit Raja telah berkembang pesat sejak dilancarkan dua dekad yang lalu, dengan menawarkan pelbagai produk kediaman dan hartanah komersial.

"Perbandaran ini turut menyumbang kepada pertumbuhan portfolio perindustrian Sime Darby Property, di mana terletaknya beberapa taman perindustrian terbesar kami, termasuklah Bandar Bukit Raja Industrial Gateway dan E-Metro Logistics Park yang dilancarkan baru-baru ini," katanya pada majlis perasmian persimpangan bertingkat itu.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim.

Azmir berkata, persimpangan bertingkat di Jalan Meru ini telah diperkenalkan untuk meningkatkan keadaan lalu lintas, serta memberikan kemudahan kepada penduduk perbandaran dan penduduk di kawasan sekitarnya.

"Sime Darby Property melabur sebanyak RM73.5 juta untuk membina persimpangan bertingkat itu yang akan menyediakan akses lebih lancar antara segmen timur dan barat Bandar Bukit Raja, yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk setakat ini.

"Pembinaan persimpangan bertingkat itu telah siap sepenuhnya pada bulan Jun lalu," katanya.

Digelar sebagai 'Kebanggaan Klang', Bandar Bukit Raja adalah pembangunan pegangan bebas seluas 4,333 ekar yang dimajukan sebagai sebuah perbandaran bersepadu yang menawarkan komponen kediaman, perindustrian dan komersial.

Dengan anggaran 105,000 penduduk apabila siap kelak, Sime Darby Property akan terus melabur dalam projek infrastruktur yang dapat membawa manfaat kepada penduduk serta pembangunan komersial di Bandar Bukit Raja.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia