News & Articles Kebakaran di bangunan 100 tahun

Kebakaran di bangunan 100 tahun


17 Aug 2022
Kebakaran di bangunan 100 tahun
Georgetown: Bangunan warisan berusia kira-kira 100 tahun bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai di sini, hampir musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian itu, wanita yang menjadi penjaga premis berkenaan tidak menyedari api marak di tingkat empat kerana tertidur.

Ketua BBP Jalan Lebuh Pantai Muzzamer Mohd Salleh berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai terdapat kepulan asap di bangunan itu pada 2.14 pagi.

Katanya, anggota bergegas ke lokasi berikutan bangunan terbabit terletak hanya beberapa meter dari balai bomba.

"Didapati, kebakaran membabitkan tingkat empat bangunan berkenaan yang menjual barangan plastik dan peralatan pejabat.

"Ketika pintu dipecahkan, didapati seorang wanita sedang tidur di aras bawah bangunan dan tidak menyedari berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kerja memadamkan kebakaran membabitkan seramai 40 anggota yang turut dibantu BBP Jalan Perak dan BBP Bagan Jermal serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

Muzzamer berkata, kebakaran dipadamkan pada 3.15 pagi dan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

"Kita dapati barangan yang disimpan di premis ini dalam jumlah terlalu banyak, namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya lagi.

Sementara itu, penjaga premis berusia 50-an yang enggan dikenali itu mendakwa tidur ketika kejadian.

"Saya juga mempunyai masalah pada deria bau, kerana itu saya tidak dapat bau asap dan tidak sedar berlaku kebakaran," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia