News & Articles PKNS, Bank Islam meterai MoU tawar kemudahan pembiayaan perumahan

PKNS, Bank Islam meterai MoU tawar kemudahan pembiayaan perumahan


18 Aug 2022
PKNS, Bank Islam meterai MoU tawar kemudahan pembiayaan perumahan
PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan kemudahan pembiayaan perumahan berdasarkan prinsip Tawarruq.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, MoU itu bertujuan memudahkan pelanggan mendapatkan pembiayaan perumahan kerana Bank Islam menawarkan pelbagai pakej untuk hartanah kediaman yang masih dalam peringkat pembinaan dan telah siap dibina.

Menurutnya, kemudahan pembiayaan perumahan yang disediakan Bank Islam sehingga 35 tahun atau sehingga usia pemohon mencecah 70 tahun.

"Margin perniagaan pula sehingga 100 peratus, merangkumi perlindungan takaful gadai janji atau pelan takaful berkadar rata tempoh gadai janji termasuk pelan takaful empunya rumah dan isi rumah.

"Pelanggan juga tidak perlu bimbang caj lain dalam pembelian hartanah itu kerana segalanya terkandung dalam pakej yang disediakan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu, di sini.

MoU itu ditandatangani Mahmud mewakili PKNS dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan - Runcit Bank Islam Mizan Masram.

Mahmud berkata, PKNS menyedari kebimbangan masyarakat mengenai pemilikan kediaman pada masa ini, terutamanya dalam ketidaktentuan ekonomi semasa, selain kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan.

"Oleh itu, PKNS tangkas mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak perbankan bagi memudahkan proses pembiayaan dan menawarkan pakej berbaloi bagi merealisasikan impian pelanggan kami untuk memiliki kediaman idaman.

"Diharapkan melalui kerjasama ini, lebih ramai masyarakat pelbagai latar belakang dapat memiliki kediaman yang mampu dimiliki, berkualiti dan terletak di lokasi strategik yang disediakan PKNS," katanya.

Kemudahan pembiayaan itu disediakan untuk semua produk hartanah dalam pembinaan serta telah dibina di bawah PKNS di sekitar Selangor antaranya Puteri Soraya dan Puteri Aira di Kota Puteri; Azhara, Lavender dan Cassia di Antara Gapi; Rafflesia di Bernam Jaya serta Anggun Kirana dan Hijauan Enklaf di Alam Nusantara.

Mahmud berkata pihaknya menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta tahun ini, namun tertakluk kepada keupayaan pasaran.

"PKNS sangat berhati-hati sebelum melancarkan sebarang projek baharu kerana perlu melihat keadaan pasaran dan ekonomi semasa. Kami tidak mahu membina rumah tanpa pembeli dan berharap untuk melancarkan enam lagi projek tahun ini dengan GDV RM600 juta," katanya.

Menurutnya dua projek akan dilancarkan dalam masa terdekat iaitu di Seksyen 16, di sini iaitu sebanyak 232 unit, manakala 200 unit lagi di Bangi dengan harga di bawah RM400,000 seunit.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia