News & Articles Keuntungan Sunway REIT meningkat lebih sekali ganda

Keuntungan Sunway REIT meningkat lebih sekali ganda


19 Aug 2022
Keuntungan Sunway REIT meningkat lebih sekali ganda
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) naik kepada RM74.51 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM33.52 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan mendadak dalam segmen runcit.

Pendapatan meningkat kepada RM144.51 juta daripada RM103.39 juta, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan daripada segmen runcit melonjak 73 peratus atau RM42.8 juta kepada RM101.4 juta disebabkan oleh prestasi keseluruhan yang lebih baik dalam hartanah runcit khususnya melalui peningkatan hasil Sunway Pyramid Mall sebanyak RM38.2 juta, hampir dua kali ganda hasil berbanding suku kedua tahun kewangan 2021 iaitu RM40.3 juta.

Pusat membeli-belah itu menyaksikan jualan penyewa yang menggalakkan semasa suku kedua sejajar dengan permintaan yang kukuh, perbelanjaan perayaan Hari Raya dan kelonggaran langkah-langkah sekatan COVID-19.

Pendapatan hartanah bersih (NPI) segmen runcit menokok RM46.1 juta kepada RM71.6 juta.

Segmen pejabat mencatatkan perolehan RM19.7 juta, peningkatan kecil sebanyak dua peratus atau RM500,000 selepas disokong oleh kadar penghunian yang stabil 84 peratus, manakala segmen industri dan lain-lain, yang merangkumi Sunway REIT Industrial - Shah Alam 1, menyampaikan pendapatan serta NPI berjumlah RM1.7 juta, kenaikan sebanyak 10 peratus.

Segmen perhotelan turut mencatatkan pertambahan dalam kadar purata penghunian bagi suku yang ditinjau berikutan peralihan kepada fasa endemik.

Walaupun operasi mencerminkan prestasi yang semakin positif, segmen perhotelan melaporkan hasil hanya sebanyak RM6 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022, lebih rendah 31 peratus berbanding RM8.7 juta yang dicatatkan sebelum ini disebabkan oleh pengiktirafan sewa dijamin minimum untuk Hotel Sunway Putra pada suku kedua tahun kewangan 2021, yang telah pun terhenti.

Sunway REIT optimis ke atas tahun kewangan 2022, disokong oleh pertumbuhan yang mantap dalam segmen runcit disebabkan oleh asas yang rendah dari tahun lalu dan penurunan ketara dalam sokongan sewa.

''Unjuran ini seterusnya disokong oleh pemulihan secara beransur-ansur dalam segmen perhotelan, sumbangan pendapatan baharu daripada sayap terkini Sunway Carnival Mall dan penyambungan semula sumbangan pendapatan daripada pembukaan kembali Sunway Resort secara berperingkat, yang dahulunya dikenali sebagai Sunway Resort Hotel,'' tambahnya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia