News & Articles Pacu bisnes perhotelan

Pacu bisnes perhotelan


24 Aug 2022
Pacu bisnes perhotelan
Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan memeterai perjanjian jual beli dengan BBCC Development Sdn Bhd (BBCC Development) bagi pembelian bangunan hotel di Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Pemeteraian itu adalah langkah proaktif UDA memperkukuh aset secara strategik.

Hotel yang juga sebahagian daripada pelan induk pembangunan BBCC itu dijangka siap dan bakal diserahkan kepada UDA pada suku ketiga 2024.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pembelian bangunan hotel bernilai RM295 juta itu adalah strategi UDA dalam merancakkan lagi cabang perniagaan hospitaliti menerusi anak syarikat AnCasa Hotels & Resorts.

"UDA mempunyai kepakaran dalam bidang ini yang berupaya memacu perniagaan hotel hingga menjadi tumpuan pelancong di ibu kota.

"Pelaburan ini juga mampu meningkatkan keuntungan positif seterusnya menggalakkan industri pelancongan negara. Ini berikutan lokasinya yang strategik terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur serta akses mudah dengan hab pengangkutan yang komprehensif merangkumi Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel KL di BBCC," katanya ketika menyaksikan upacara menandatangani perjanjian jual beli berkenaan, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany dan Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development, Low Thiam Chin.

Katanya, hotel ini kelak mampu melengkapkan komponen pembangunan di BBCC yang turut dilengkapi dewan konsert Zepp Kuala Lumpur (anak syarikat Sony Music Entertainment (Japan) Inc), Malaysia Grand Bazaar, panggung wayang dan dewan bankuet yang terletak dalam hab hiburan di bawah hotel.

Kini, fasa pembangunan bercampur di BBCC telah lengkap dengan pembangunan kediaman, pejabat dan kompleks beli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport.

Hotel yang dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2024 itu bakal menyediakan 450 unit penginapan dan menawarkan pilihan 1, 2 dan 3 bilik yang mampu memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengunjung sama ada untuk urusan perniagaan atau bersantai.

Selain daripada menerapkan elemen sejarah Kuala Lumpur dalam keseluruhan konsep hotel, tema keunikan Malaysia turut diketengahkan bagi memberikan pengalaman baharu kepada tetamu hotel.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia