News & Articles Icon Offshore jual pelantar bernilai RM381.7 juta

Icon Offshore jual pelantar bernilai RM381.7 juta


1 Sep 2022
Icon Offshore jual pelantar bernilai RM381.7 juta
KUALA LUMPUR: Icon Offshore Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Icon Caren (L) Inc, memeterai Perjanjian Jual Beli dengan ADES Arabia Holding bagi cadangan pelupusan pelantar Perisai Pacific 101 dengan pertimbangan tunai sebanyak AS$85 juta (RM381.7 juta).

Penyedia kapal sokongan luar pesisir (OSV) terkemuka yang juga kontraktor pelantar penggerudian luar pesisir di Malaysia dan Asia Tenggara itu berkata, cadangan pelupusan adalah bersyarat dengan mendapat kelulusan pemegang saham Icon Offshore pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Icon Offshore melalui unit milik penuhnya Icon Fleet Sdn Bhd telah membeli pelantar ini dan aset berkaitan daripada Perisai Petroleum Teknologi Bhd pada harga AS$42.54 juta (RM177 juta) pada Oktober 2020," katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Icon Offshore, Datuk Seri Hadian Hashim, berkata pemerolehan pelantar itu memberi peluang kepada syarikat untuk beralih ke perniagaan penggerudian luar pesisir pada harga yang sangat menguntungkan dan beroperasi sebagai model yang berdiri sendiri.

"Perniagaan ini menyediakan sumber pendapatan tambahan sebagai sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan perniagaan jangka panjang syarikat, yang bertujuan untuk meningkat dan meluaskan penawaran produkuntuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan untuk berubah menjadi penyedia perkhidmatan bersepadu.

"Kenaikan harga minyak yang didorong oleh pelbagai peristiwa global telah memberi kesan yang baik kepada aktiviti huluan. Aktiviti yang teguh dalam sektor huluan telah mendorong permintaan untuk perkhidmatan huluan yang mengakibatkan kenaikan kadar sewa dan harga aset sejak 2001," katanya.

Beliau menambah, walaupun perkembangan ini akan terus memberi kesan positif terhadap prestasi kewangan keseluruhan Icon Offshore, strategi awal untuk meningkatkan kehadirannya dalam segmen penggerudian melalui pemilikan aset selanjutnya semakin mencabar untuk dilaksanakan, memandangkan harga aset telah meningkat dengan ketara.

Katanya, ini ditambah dengan ketidaktentuan berterusan dalam sektor berkenaan, ia memerlukan penilaian semula strategi awalnya berkaitan dengan pengembangan aset.

"Cadangan pelupusan ini memberi peluang kepada syarikat untuk meraih untung pelaburannya dalam pelantar pada keuntungan yang ketara (RM185.5 juta), memberikan Icon Offshore kekuatan kewangan untuk mempelbagaikan bidang perniagaan lain, antara lain seperti menerokai ruang tenaga baharu dan segmen perkhidmatan melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang strategik," katanya.

Icon Offshore kekal yakin untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pengendali perkhidmatan bersepadu pilihan untuk memenuhi pelbagai keperluan minyak dan gas dengan memanfaatkan inovasi teknologi, asas kos rendah dan rekod prestasi kesihatan, keselamatan, keselamatan dan alam sekitar (HSSE) yang kukuh.

Icon Offshore kini mempunyai 19 kapal aktif yang beroperasi di perairan Malaysia, Brunei dan Thailand.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia