News & Articles Public Bank, Sunway Property sedia pakej pembiayaan istimewa

Public Bank, Sunway Property sedia pakej pembiayaan istimewa


7 Sep 2022
Public Bank, Sunway Property sedia pakej pembiayaan istimewa
KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd dan Sunway Integrated Properties Sdn Bhd (Sunway Property) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembiayaan hartanah bagi projek pembangunan hijau dan mampan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata melalui MoU itu, pelanggan yang membeli hartanah yang menerima persijilan hijau untuk hartanah kediaman dan bukan kediaman yang dibangunkan oleh Sunway Property akan memperoleh Pakej Pembiayaan Mampan Istimewa Public Bank.

Beliau berkata, MoU itu sejajar dengan misi kemampanan Public Bank untuk meneruskan Tindakan Iklim dan menyumbang ke arah penyelesaian isu iklim global.

"Melalui pakej istimewa ini, pelanggan akan menikmati faedah keutamaan, kelulusan cepat dan pilihan pembiayaan untuk pelanggan yang ingin membeli peralatan mesra alam dan jimat tenaga selain kelengkapan untuk meningkatkan lagi elemen kemampanan hartanah mereka," katanya pada majlis menandatangani MoU itu.

MoU itu ditandatangani di Kuala Lumpur bersama Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah.

Mengulas lanjut, Ah Lek berkata, selaras dengan komitmen Public Bank untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030 dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia dari segi aset itu akan menggerakkan sebanyak RM40 bilion bagi pembiayaan mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjelang 2025, termasuk meningkatkan akses pembiayaan bangunan hijau untuk pelanggan.

"Sebagai peneraju pembiayaan hartanah di negara ini dengan bahagian pasaran yang kukuh sebanyak 20.5 peratus dan 33.8 peratus masing-masing bagi pembiayaan hartanah kediaman dan bukan kediaman di Malaysia setakat Jun 2022,Public Bank ternyata mempunyai kedudukan yang baik untuk menggalakkan pemilikan hartanah hijau di negara ini," katanya.

Sementara itu, Cheah menyifatkan perjanjian persefahaman terbabit menandakan satu tahap pencapaian kedua-dua syarikat ke arah sasaran peneutralan karbon bagi Malaysia.

"Kami yakin dengan kerjasama ini, dapat menggabungkan kekuatan selain memberi nilai positif kepada komuniti luas, termasuk memacu Agenda 2030," katanya.

Sunway Property, sejajar dengan Kumpulan Sunway, telah menetapkan lima matlamat ESG dengan 19 sasaran untuk menyokong sepenuhnya peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim menjelang 2030 dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia