News & Articles 34,000 kediaman siap bina tidak terjual, Johor tertinggi

34,000 kediaman siap bina tidak terjual, Johor tertinggi


14 Sep 2022
34,000 kediaman siap bina tidak terjual, Johor tertinggi
PUTRAJAYA: Lebih 34,000 kediaman tidak terjual siap dibina atau 'overhang' bernilai RM21.7 bilion dicatat pada separuh pertama 2022 (1H22) dengan Johor kekal menjadi penyumbang tertinggi.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata situasi 'overhang' pada tempoh dikaji itu bagaimanapun bertambah baik dengan penurunan marginal bilangan dan nilai setiap satu pada 7.5 peratus dan 4.6 peratus berbanding separuh kedua tahun 2021.

Katanya, hampir 60 peratus daripada kediaman tidak terjual adalah harta tanah kondominium/pangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, kira-kira 43 peratus berharga lebih daripada RM500,000 seunit.

"Johor kekal dengan bilangan kediaman overhang tertinggi dalam negara dengan merekodkan lebih 6,000 unit overhang bernilai RM4.7 bilion.

"Negeri ini menyumbang lebih 17 peratus dan 21 peratus setiap satu daripada bilangan dan nilai overhang negara. Pulau Pinang pula di kedudukan kedua dengan lebih 5,000 unit bernilai RM3.64 bilion," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2022 hari ini.

Laporan disediakan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Yang turut hadir Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Abdul Razak Yusak.

Mengulas lanjut Mohd Shahar berkata, status overhang apartment servis juga bertambah baik dengan lebih 22,000 unit bernilai RM19.32 bilion pada 1H22 direkodkan, iaitu penurunan bilangan 6.7 peratus berbanding separuh kedua tahun 2021.

Katanya, hampir 89 peratus daripada jumlah overhang ini berharga RM500,000 dan ke atas dan sebahagian besarnya terletak di Johor.

"Saya berharap supaya situasi overhang kediaman dan apartment servis akan terus terkawal dan semakin baik pada masa akan datang.

"Ini adalah penting untuk memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan dapat diminimumkan.

"Oleh itu, saya menyarankan supaya pemaju dan pihak berkuasa yang meluluskan pembangunan projek serta penetapan harga jualan rumah memberi perhatian kepada data overhang ini.

"Pastikan rumah yang dibina menepati permintaan di lokasi tersebut dengan harga yang mampu dimiliki oleh pembeli setempat," katanya.

Tambahnya, NAPIC telah membangunkan portal UPESM (Unsold Property Enquiry System Malaysia) sejak tahun 2018 lagi yang memberikan akses secara percuma kepada data harta tanah tidak terjual mengikut lokaliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Terkini, portal ini merekodkan jumlah kunjungan hampir 17,000 pengunjung. Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk mengakses UPESM dan rujuklah data ini sebelum merancang pembangunan baharu di sesuatu kawasan.

"Di samping itu, jalankan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh supaya keputusan yang dibuat adalah yang tepat dan tidak akan menyumbang kepada stok kediaman tidak terjual negara pada masa hadapan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia