Mutiara Spaces jenama baharu Boustead Properties
PETALING JAYA: Pemaju perbandaran utama, Boustead Properties Bhd melancarkan jenama baharu, 'Mutiara Spaces' sebagai sebahagian usaha penciptaan semulanya yang berterusan untuk muncul sebagai pemaju hartanah yang bertumpu teknologi, dengan kemampanan sebagai pemacu utama.
Mutiara Spaces menyasarkan untuk memenuhi permintaan pasaran hartanah yang semakin berkembang dengan mencipta semula Boustead Properties menjadi pemaju dinamik dengan bantuan teknologi dan penciptaan tempat yang kreatif semasa ia membuat reka bentuk dan membina ruang untuk orang ramai dengan diselami konsep kehidupan, kerja dan beriadah.
Langkah itu adalah selaras dengan agenda transformasi keseluruhan strategi induk Boustead Holdings Bhd, 'Reinventing Boustead' untuk memacu pertumbuhan mampan bagi pihak berkepentingan, sambil memaksimumkan nilai untuk pengguna.
Pengerusi Boustead Properties, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, berkata dengan tujuan yang diperbaharui, organisasi memerlukan penciptaan semula, pembaharuan struktur meluas DNA pada semua peringkat.
Beliau berkata, hari ini pemaju, arkitek, pengurus bangunan dan pereka yang mewakili Boustead Properties mesti mentakrifkan semula ruang untuk kekal berdaya saing dan mampan.
"Kita mesti belajar, memahami dan berinovasi dalam teknologi melalui ruang dan gelagat pengguna supaya kita boleh mewujudkan keadaan yang memberikan keselesaan dan fleksibiliti kepada orang ramai untuk bekerja, hidup dan beriadah," katanya pada pelancaran jenama baharu itu di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties, Khairul Azizi Ismail, berkata dengan Mutiara Spaces, pihaknya membawa nilai teras iaitu kreativiti, integriti dan inovasi kepada kehidupan.
Beliau berkata, pada asasnya, Boustead Properties mentafsir semula ruang dengan menyeimbangkan antara fungsi dan gaya supaya pihaknya boleh menukar reka bentuk pintar kepada hartanah yang boleh didiami.
"Dengan memahami dan menjangka keperluan pemilik rumah, kami boleh mencipta rumah yang lebih relevan yang mengekalkan nilainya sepanjang hayat.
"Untuk melengkapkan ini, kami melihat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai asas kepada cara kami mengubah dan membina hartanah. Lebih daripada sekadar perkataan, tindakan menunjukkan bahawa kami memberi kesan positif kepada ESG.
"Melalui penilaian dan pelarasan yang konsisten, kami boleh membuat perbezaan yang ketara dalam cara kami berkembang dan menyampaikan produk," katanya.
Source: Bharian.com.my