Harap pengecualian duti setem hartanah RM500,000-RM1 juta
KEPALA BATAS - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berharap permohonan untuk pengecualian duti setem 100 peratus bagi pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 sehingga RM1 juta, akan diluluskan pada pembentangan Bajet 2023 akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, buat masa ini, pengecualian duti setem 100 peratus adalah untuk pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 ke bawah menerusi inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia (i-MILIKI), manakala rumah berharga RM500,000 sehingga RM1 juta akan mendapat pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.
"Saya berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pengecualian duti setem 100 peratus untuk rumah berharga RM500,000 sehingga RM1 juta, kerana pembeli hartanah dalam lingkungan harga ini selalunya terdiri dari kelompok M40.
"Saya tidak mahu dilihat kita hanya memperjuangkan keperluan B40 dan saya berharap permohonan ini akan diluluskan, dengan syarat ia untuk rumah pertama dan pemaju memberi diskaun 10 peratus kepada pembeli,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara di sini pada Jumaat.
Selain itu, Reezal turut berharap Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang menyediakan jaminan pembiayaan berjumlah RM2 bilion di bawah Bajet 2022, akan diteruskan pada Bajet 2023 yang akan dibentang pada 7 Oktober akan datang.
Katanya, SJKP memainkan peranan penting dalam merancakkan pasaran hartanah, kerana ia membolehkan orang awam yang berkemampuan, tetapi tidak mempunyai bukti atau dokumen pendapatan secara rasmi (penyata gaji) atau memperoleh pendapatan secara tidak tetap untuk mendapatkan akses pembiayaan perumahan sehingga 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih.
Mengulas mengenai Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara, beliau berkata program selama tiga hari itu akan menawarkan lebih 92,000 unit rumah yang belum dijual di seluruh Wilayah Utara dan dijangka akan menarik lebih 15,000 pengunjung.
"Karnival ini dianjur bersempena siri Jelajah Home Ownership Programme (HOPE), dengan agenda utama adalah pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara ini menyediakan sebanyak 45 reruai, dengan penyertaan 23 pemaju perumahan seperti Bertam Properties Sdn Bhd, SP Setia Bhd, OIB Group, Aspen Group, Oriental Kedah Realty dan EcoWorld Property. - Bernama
Source: Sinarharian.com.my