News & Articles LBS bagi cadangan Bajet 2023 rangsang sektor hartanah

LBS bagi cadangan Bajet 2023 rangsang sektor hartanah


27 Sep 2022
LBS bagi cadangan Bajet 2023 rangsang sektor hartanah
KUALA LUMPUR - Pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) menyenaraikan saranan-saranan bagi Belanjawan 2023 bagi membantu meningkatkan sektor hartanah yang menjurus kepada pemulihan ekonomi negara.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS memuji usaha kerajaan untuk merangsang sektor hartanah dengan membantu meringankan beban pemilik rumah menerusi pelbagai inisiatif.

“Tahun 2022 adalah fasa pemulihan berikutan aktiviti ekonomi mula dibuka semula secara berperingkat ekoran daripada perintah kawalan pergerakan selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

“Walaubagaimanapun, tahun 2022 juga merupakan tahun mencabar bagi negara yang terkesan daripada kekurangan tenaga buruh, lonjakan kadar faedah dan kenaikan harga bahan mentah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut adalah saranan yang dicadangkan oleh LBS:

Memperkenalkan semula dan mengekalkan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) atau rebat pemilik rumah pertama

LBS menyokong inisiatif Kerajaan menerusi HOC yang diperkenalkan pada tahun 2019 yang menerima sambutan menggalakkan di samping mendorong pemilikan rumah dan mengurangkan bilangan hartanah tidak terjual dalam negara.

Pembeli rumah pertama memperoleh manfaat pengurangan sebanyak 10 peratus dari harga pembelian rumah dan pengecualian duti setem untuk pembelian rumah kediaman kurang daripada RM1 juta. Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengenalan semula dan mengekalkan pelaksanaan tetap.

Perumahan mampu milik akan terus mendapat permintaan dan HOC akan membantu memastikan sentimen pembelian yang berterusan. Kerajaan juga mungkin boleh menawarkan rebat sehingga 10 peratus bagi pembeli rumah pertama sebagai galakan kepada rancangan pemilikan hartanah.

Memberi subsidi kepada kenaikan kos bahan mentah

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), kos pembinaan dijangka meningkat dengan nilai purata sebanyak 19 peratus tahun ini. Pemaju dan kontraktor masing-masing berhadapan dengan tekanan kos yang semakin meningkat bagi mengekalkan keuntungan.

Harga rumah juga mengalami kenaikan kesan daripada peningkatan kos tersebut. Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi atau melaksanakan harga siling bagi bahan mentah pembinaan bagi membantu mengekalkan harga rumah mampu milik.

Kos pematuhan yang lebih rendah

Sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS memberi tumpuan kepada segmen mampu milik di dalam projek-projek pembangunannya. Pemaju perlu menanggung, antara lain, kos pematuhan yang timbul daripada caj pembangunan, premium penukaran tanah atau permohonan hak milik strata.

Memandangkan situasi mencabar daripada kenaikan harga bahan mentah, kami berharap kos pematuhan yang berkaitan dengan pembangunan hartanah dapat dikurangkan. Sebarang penjimatan daripada langkah-langkah ini akan bermanfaat dan boleh disalurkan kepada pembeli rumah dengan harga yang lebih berpatutan.

Insentif alam sekitar yang lebih besar untuk para pemaju

Dengan peningkatan kepentingan inisiatif kelestarian alam sekitar, LBS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyediakan geran alam sekitar kepada pemaju. Ini akan menggalakkan para pemaju industri hartanah untuk melaksanakan lebih banyak elemen kehijauan di dalam pembinaan mereka sambil mempromosikan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberikan potongan cukai tambahan agar pemilik bangunan boleh menikmati potongan cukai pendapatan bersamaan dengan perbelanjaan modal tambahan yang perlu bagi melaksanakan inisiatif alam sekitar. Ini akan menggalakkan penggunaan tenaga dan air yang cekap di seluruh bangunan.

Pengurangan minimum pembelian hartanah kediaman warga asing

Dengan pembukaan semula sempadan, kami menjangkakan kemasukan warga asing secara beransur-ansur yang bakal mendorong pemaju hartanah untuk menawarkan pakej menarik pada harga minimum yang mampu dibeli oleh warga asing.

Pada masa ini, warga asing hanya dibenarkan membeli hartanah melebihi RM1 juta. LBS berharap kerajaan dapat menurunkan had ini kepada RM600,000 bagi semua negeri, sekali gus membolehkan pemaju mengurangkan unit sedia ada yang tidak terjual di samping menggalakkan kemasukan pemilikan asing.

Melalui cadangan ini, LBS berharap kerajaan melalui Belanjawan 2023 akan menyediakan langkah-langkah rangsangan yang tepat kepada pemaju hartanah.

“Kami percaya cadangan yang dikemukakan akan menjadi pemangkin kepada penambahbaikan sektor pembangunan hartanah sejajar dengan permuafakatan bahawa tahun 2023 bakal menjadi tahun yang lebih baik bagi Malaysia. Ini juga merupakan peluang bagi pihak kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban pemilikan rumah.

“Dengan langkah dan keputusan penting yang bakal diputuskan oleh kerajaan untuk memacu negara ke landasan yang tepat, kami percaya para pemaju industri hartanah akan bekerjasama untuk memastikan insentif yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada pembeli rumah,”katanya.

Source: Sinarharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia